Jumaat, 8 Jun 2018 | 8:55am

BSBCC gesa kerajaan banteras jenayah hidupan liar

KOTA KINABALU: Di sebalik ketegasan undang-undang hidupan liar, masih ramai individu tidak bertanggungjawab yang dikesan menggunakan media sosial untuk menjual haiwan eksotik terancam sebagai binatang peliharaan di seluruh negara.

Lebih membimbangkan, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) turut mengenalpasti beberapa akaun Facebook dan Instagram yang dikenal pasti giat menawarkan beruang madu, musang, kucing batu, lotong, siamang, harimau dahan, burung pemangsa, burung enggang dan tapir.

Pengasas BSBCC yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Wong Siew Te, berkata pihak berkuasa berkaitan menyedari perkara itu, namun tidak mengambil tindakan yang secukupnya.

Apa yang lebih menyedihkan, katanya, perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak tahun lalu, namun transaksi perniagaan membabitkan haiwan terancam itu masih berjalan seperti biasa.

"Jika ini berterusan, hidupan liar kita akan hilang tidak lama lagi, terdapat banyak lagi hidupan liar yang terkesan disebabkan kehilangan habitat sejak 50 tahun lalu.

"Baki hidupan liar lain turut terancam akibat kegiatan pemburuan haram," katanya kepada NSTP.

Menurut ahli biologi itu, walaupun kebanyakan peniaga beroperasi menggunakan akaun peribadi secara tertutup, ada juga yang meletakkan identiti mereka dengan jelas dan akan memudahkan mereka dikesan serta dihubungi oleh pihak berkuasa.

Katanya, pihak berkuasa digesa memperketatkan usaha pemuliharaan hidupan liar memandangkan penjual dan pembeli hidupan liar haram kelihatan seperti tidak takut kepada undang-undang.

"Sudah tiba masanya untuk memperkukuhkan lagi usaha pemuliharaan hidupan liar. Urus niaga ini (hidupan liar) tidak boleh diteruskan seperti biasa, kerajaan perlu melihat jenayah hidupan liar ini dengan lebih serius," katanya.

Sementara itu, Siew Te berkata BSBCC menyambut Hari Beruang Madu setiap 16 Mei untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perlindungan dan pemuliharaan haiwan itu.

Bagaimanapun, katanya, penghujung Mei lalu beliau mengesan masih ada iklan yang menawarkan anak beruang madu untuk jualan dalam talian meskipun spesies itu dilindungi sepenuhnya di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Tegas Siew Te, hidupan liar memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan dan jika kegiatan mengeksploitasi hidupan liat terus dibiarkan, hutan negara akan menjadi kosong tidak lama lagi.

BERUANG Madu Borneo.
Berita Harian X