Jumaat, 8 Jun 2018 | 12:38pm
ROSNAH Mat, 46 dan anaknya, Zetty Ashyira Musa, 17, menunjukkan sumbangan raya yang diterima mereka daripada LAKISTRI di Sarikei. - Foto Khalid Latip
ROSNAH Mat, 46 dan anaknya, Zetty Ashyira Musa, 17, menunjukkan sumbangan raya yang diterima mereka daripada LAKISTRI di Sarikei. - Foto Khalid Latip

Ibu tunggal tabah besarkan sembilan anak

SARIKEI: Sukar digambarkan kesukaran dilalui seorang ibu tunggal, Rosnah Mat, membesarkan sembilan anaknya berusia antara lapan hingga 26 tahun tanpa sumber pendapatan tetap.

Tanpa mengharapkan bantuan orang lain, Rosnah, 46, gigih mencari rezeki dengan berniaga makanan termasuk kuih-muih selepas kematian suaminya, Musa Pae, akibat penyakit barah paru-paru, ketika berusia 35 tahun.

Namun, pendapatannya tidak menentu dan kadangkala hasil yang diperolehnya tidak mampu menampung perbelanjaan harian.

Berkat kesabarannya sepanjang 12 tahun bergelar ibu tunggal, Rosnah kini semakin lega apabila empat anaknya sudah bekerja, seorang sudah berkeluarga manakala tiga lagi masih bersekolah.

"Selepas kematian suami 12 tahun lalu, saya berniaga makanan selain menjual kuih-muih namun pendapatan yang pasang surut tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian.

"Bukan mudah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, apatah lagi apabila semua anak-anak ketika itu masih bersekolah.

"Selain berniaga makanan, saya melakukan pelbagai pekerjaan lain demi memastikan keperluan anak-anak mencukupi. Malah, saya rela berlapar, asalkan nasib anak-anak terbela kerana mereka adalah harta dunia dan akhirat," katanya kepada NSTP.

Rosnah adalah antara seorang daripada 594 penerima sumbangan Aidilfitri Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISTRI), di Masjid Al-Mutaqqin di sini, semalam.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh dan turut dihadiri Residen Bahagian Sarikei, Mohd Junaidi Mohidin.

Kini, Rosnah, yang bekerja sebagai sebagai pembantu rumah mengakui cabaran yang dihadapinya itu banyak mengajarnya erti kesabaran, terutama dalam membesar dan mendidik anak-anak.

"Hanya Tuhan yang tahu bagaimana peritnya membesarkan anak-anak tanpa suami. Namun, saya bersyukur kepada Allah yang memberi kekuatan untuk saya bekerja dan mengizinkan anak-anak saya membesar dengan baik.

"Bagi saya, semua ini adalah anugerah terindah walaupun hidup kami tidak semewah orang lain," katanya yang turut dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Berita Harian X