Ahad, 10 Jun 2018 | 7:06pm
AHLI Dewan Undangan Negeri Kuah, Mohd Frdaus Ahmad (kanan) diiringi Pengurus PERKESO Langkawi, Yusuf Kasim (dua dari kanan) menyerahkan cek faedah pengurusan jenazah bernilai RM2,000 kepada K Janagi di rumahnya di Taman Sunga Raya, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Balu pemungut sampah terima pencen seumur hidup

LANGKAWI: Balu pemungut sampah yang maut digilis lori sampah Isnin lalu, terharu menerima cek faedah pengurusan jenazah RM2,000 di sini, hari ini.

Sumbangan cek daripada PERKESO itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd Frdaus Ahmad.

Selain itu, K Janagi, 44, yang juga balu kepada mendiang M Vanarajan, 49, turut layak menerima pencen seumur hidup.

Vanarajan bapa kepada lima orang anak bekerja sebagai pemungut sampah dengan syarikat Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman).

Janagi berkata, walaupun dia dan lima anaknya berusia antara 15 dan 21 tahun sedih kerana kehilangan ketua keluarga, namun menganggapnya sebagai takdir.

Katanya, mendiang suaminya tidak banyak bercakap dengan ahli keluarga beberapa hari sebelum kemalangan berlaku.

"Dah jadi rutin harian suami keluar bekerja pada jam 5 pagi dan pada hari kejadian dia keluar rumah pada waktu sama.

"Masa nak keluar kerja dia tidak cakap apa-apa, cuma kami dikejutkan panggilan telefon meminta pergi ke Hospital Langkawi sebelum dimaklumkan suami sudah meninggal dunia," katanya.

Yang turut hadir, Pengurus PERKESO Langkawi, Yusuf Kasim dan kakitangannya.

Dalam nahas jam 9.35 pagi Isnin lalu, Vanarajan, maut berikutan cedera parah di kepala akibat digilis lori dipandu rakan sekerja di Pantai Chenang di sini.

Ketika kejadian, Vanarajan yang berdiri di atas pemijak kaki sisi kiri lori terjatuh ke pantai selepas pemijak itu patah sebelum kepalanya digilis tayar belakang lori.

Sementara itu, Yusuf berkata, bayaran faedah pengurusan jenazah dan pencen seumur hidup itu diberikan kepada balu mangsa memandangkan arwah adalah pencarum PERKESO.

"Bayaran pencen ini diharap dapat meringankan beban kewangan balu mangsa supaya dapat meneruskan kehidupan selepas ini," katanya.

Berita Harian X