Rabu, 13 Jun 2018 | 4:09pm
ORANG ramai bersabar untuk membeli daging pada program Mantai Perdana di tapak pakir Pilah Perdana. - Foto Amran Yahya

100 tan daging lembu, kerbau ditawarkan

SEREMBAN: Hampir 100 tan daging membabitkan 221 ekor lembu dan kerbau, ditawarkan kepada orang ramai pada program Mantai Perdana anjuran kerajaan negeri selama dua hari di bekas tapak Kem Paroi, di sini.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata pada program bermula malam tadi itu, daging lembu serta kerbau masing-masing dijual pada harga berpatutan RM27 dan RM34 sekilogram.

Katanya, program menjelang Aidilfitri setiap tahun itu mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) dan pengusaha tempatan.

"Program Mantai Perdana kali ini diadakan dengan sedikit perubahan di mana kita turut menghantar lembu ke daerah bagi mengurangkan kesesakan di sini.

"Kita berharap program ini memberi kesan baik kepada penduduk yang dapat membeli daging pada harga lebih murah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mantai Perdana, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik; dan Pengarah JPVNS, Dr Azman Shah Abd Manaf.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, bagi mengurangkan kesesakan pengunjung membeli daging, pihaknya menyediakan lorong khas bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Beliau berkata, barangan keperluan lain turut dijual pada program itu, termasuk ayam, itik, telur, daging salai dan puyuh.

"Program ini akan diteruskan pada masa depan kerana amat baik bagi membantu mengurangkan kos perbelanjaan rakyat, selain dapat menghidupkan tradisi di negeri ini," katanya.

Mantai adalah acara tradisi masyarakat di negeri ini menyediakan daging sembelihan menjelang Ramadan dan Syawal setiap tahun.

Berita Harian X