Rabu, 13 Jun 2018 | 5:33pm
KETUA Menteri, Adly Zahari menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan golongan kurang berkemampuan di Ayer Keroh, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman

Mamee, HARWANIS rai 150 anak yatim

AYER KEROH: Seramai 150 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan terpilih di negeri ini menerima sumbangan Aidilfitri daripada syarikat Mamee Double Decker (M) Berhad.

Sumbangan berupa duit raya RM100 seorang dan produk makanan Mamee disampaikan Ketua Menteri, Adly Zahari di kilang makanan ringan berkenaan, di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan bersama Badan Kebajikan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Melaka (HARWANIS).

Yang turut hadir, isteri Ketua Menteri yang juga Pengerusi HARWANIS, Dalilah Awaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li; Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker (M) Berhad, Tan Sri Pang Tee Chee dan Pengarah Urusan Double Decker (M) Berhad, Datuk Gary Choo Kok Sen.

Adly berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban yang ditanggung, terutama menjelang hari raya yang dijangka disambut Jumaat ini.

"Sekecil mana sumbangan yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan. Malah, 'buah tangan' yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman walaupun cuma untuk seketika.

"Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi sinar dan kegembiraan kepada penerima dalam membuat persiapan dan meraikan Aidilfitri nanti," katanya.

Adly juga menggalakkan syarikat swasta lain untuk menyampaikan sumbangan mahupun bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira masa.

Berita Harian X