Khamis, 14 Jun 2018 | 12:54pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Semporna, Silam, Tawau dan Kalabakan di Masjid al-Kauthar, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Tawau berpotensi jadi hab pertanian

TAWAU: Terletak di lokasi strategik dan berpotensi tinggi, daerah Tawau diyakini berupaya untuk muncul sebagai hab industri pertanian dan pengeluar makanan laut di rantau Asia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyatakan keyakinan itu bersandarkan kedudukannya berhampiran dengan daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu yang kaya dengan hasil laut dan sumber alam semula jadi.

"Daerah ini (Tawau) bukan hanya kaya dengan hasil kayu-kayan, malah sumber lautnya juga berpotensi besar untuk dimajukan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

"Bahkan, penanaman buah-buahan dan sektor pertanian juga baik kerana tanah di sini subur. Jika keluasan tanah yang mencukupi dapat diusahakan kerajaan negeri dan swasta, ia pasti memberi peluang pekerjaan kepada anak muda di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Semporna, Silam, Tawau dan Kalabakan di Masjid al-Kauthar di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong; Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri; Datuk Muis Picho dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada lebih 50 penerima membabitkan fakir miskin, asnaf dan ibu tunggal, selain anak yatim dari Rumah Anak Yatim ar-Raudhah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kerajaan negeri kini memberi keutamaan untuk mengenal pasti sektor yang boleh memacu pembangunan ekonomi negeri bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu.

"Perkara ini menjadi keutamaan kepada kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin kerajaan negeri supaya menunjukkan akhlak dan teladan yang baik kepada masyarakat.

"Ramadan adalah peluang terbaik untuk membuat amal kebajikan dengan membantu golongan memerlukan seperti fakir miskin di segenap pelusuk daerah, termasuk terhadap penduduk yang menetap di pulau," katanya.

Berita Harian X