Khamis, 21 Jun 2018 | 11:41am

SPRM digesa siasat isu pelesenan Bazar Ramadan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, hari ini membuat laporan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, bagi menggesa siasatan dilakukan berhubung isu pelesenan Bazar Ramadan Bukit Bintang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Laporan itu antara lain bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain yang mendakwa kononnya dipaksa mengeluarkan lesen bazar berkenaan selepas satu surat sokongan dikeluarkan Kui Lun.

Pada masa sama, Kui Lun berkata, pihaknya mendapati DBKL memungut wang sewa tidak lebih RM4,000 bagi setiap lot bazar berkenaan.

"Ini tidak masuk akal (kerana) mereka berniaga untuk beberapa hari sahaja pada Ramadan.

"Apa yang dibuat DBKL ini akan menggalakkan satu aktiviti rasuah. Ia juga secara tidak langsung akan menyebabkan peniaga menjual barangan lebih mahal untuk menampung sewa.

"Jika DBKL sebagai badan eksekutif sentiasa telus dan bertanggungjawab, isu seperti ini tidak akan timbul. Saya harap SPRM dapat siasat perkara ini secara menyeluruh," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu, di pekarangan bangunan SPRM, pagi ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Sementara itu, Kok Wai berkata 'tradisi' surat sokongan yang dikeluarkan Ahli Parlimen akan diteruskan mengikut keperluan semasa.

"Surat sokongan menjadi masalah apabila ia disalahgunakan. Kita akan terus 'tradisi' berkenaan bagi membantu mereka yang memerlukan, terutama golongan ibu tunggal," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun ketika sidang media selepas membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane berhubung kes penyelewengan tapak Bazar Ramadan di Bukit Bintang membabitkan nama beliau dikatakan mengutip duit daripada peniaga-peniaga Bazar Ramadan. - Foto Nik Hariff Hassan
Berita Harian X