Khamis, 21 Jun 2018 | 5:55pm
SEBAHAGIAN siput kabung yang banyak terdampar di Pantai Chenang. - Foto Ihsan Amran Raman
AMRAN Raman, 31, menunjukkan siput kabung yang dikutipnya di Pantai Chenang. - Foto Ihsan Amran Raman

Siput kabung 'tawan' Pantai Chenang

LANGKAWI: Fenomena cuaca yang tidak menentu pada masa kini dipercayai menjadi antara sebab berlakunya limpahan siput kabung yang terdampar di Pantai Chenang, di sini.

Difahamkam, kehadiran jumlah siput yang luar biasa itu boleh dilihat sejauh dua kilometer (km) sepanjang pantai tumpuan pelancong itu malah keadaannya menjadi lebih menarik dilihat ketika air laut surut.

Penduduk tempatan, Amran Raman, 31, berkata dia turut meninjau fenomena itu selepas mengetahui perkara terbabit menerusi laman sosial Facebook.

"Memang banyak siput kabung terdampar di Pantai Chenang ketika ini dan fenomena itu berlaku selepas kejadian ribut dan ombak kuat sepanjang dua hari lalu.

"Ia bukan saja menarik perhatian penduduk tempatan, malah pelancong asing turut beramai-ramai mengutip siput yang terdampar," katanya ketika dihubungi di sini.

Amran yang menetap di Kampung Teluk, Mukim Ulu Melaka di sini, berkatakakitangan syarikat pengurusan sisa pepejal E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) ada melakukan kerja pembersihan terhadap kehadiran siput kabung itu.

"Walaupun kakitangan E-Idaman ada melakukan kerja pembersihan pada sebelah pagi, tapi siput terbabit kembali terdampar dengan jumlah yang banyak pada sebelah petang.

"Siput yang membanjiri tepian Pantai Chenang di sini dipercayai akan terus dapat dikutip dalam beberapa hari lagi," katanya.

Amran adalah antara beberapa penduduk yang memuat naik gambar fenomena siput kabung terdampar di Pantai Chenang, di sini, pada status Facebook.

Turut menjadi tular dalam laman sosial adalah gambar fenomena sama yang dimuat naik oleh Mohamad Hafizi Md Isa.

Berita Harian X