Jumaat, 22 Jun 2018 | 5:34pm

79 mangsa ribut terima bantuan

JASIN: Nasib 79 mangsa ribut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini, terbela apabila sejumlah RM39,000 peruntukan disalurkan menerusi Tabung Bantuan Bencana bagi membantu mereka.

Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya, berkata peruntukan kepada mangsa di Kampung Tedong Pantai, Serkam, di sini, itu diberikan kerajaan negeri merangkumi bantuan segera serta kewangan.

Katanya, daripada 79 kediaman yang terjejas akibat ribut pada Ahad lalu, sebanyak 24 kediaman mengalami kerosakan teruk.

"Sebanyak 23 daripada 24 kediaman sudah dibaik pulih dan semuanya dijangkakan dapat diselesaikan hari ini.

"Sejumlah RM39,000 dikeluarkan daripada Tabung Bantuan Bencana untuk diagihkan sebagai insentif kepada 55 lagi mangsa selepas kediaman mereka terjejas berdasarkan penilaian dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 55 mangsa bencana ribut di Kampung Tedong Pantai, di sini, hari ini.

Zamrud berkata, insentif berkenaan diberikan sebagai bantuan meringankan beban mangsa untuk membaik pulih kediaman mereka.

Sementara itu, mangsa ribut, Fatimah Ab Malik, 43, berkata, dia bersyukur kerana kos membaiki kerosakan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Saya mulanya buntu memikirkan kos pembaikan rumah kerana hanya mengambil upah mencuci pinggan, lebih-lebih lagi kejadian berlaku pada musim perayaan.

"Syukur urusan dipermudahkan apabila kos keseluruhan ditanggung kerajaan negeri," katanya.

PEGAWAI Daerah Jasin, Zamrud Yahya (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa bencana, Katijah Hasim (kanan) pada majlis penyampaian sumbangan bencana ribut DUN Serkam di Balairaya Tedong Pantai, Serkam. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X