Ahad, 24 Jun 2018 | 5:32pm

Pelihara Hutan Simpan Ulu Muda - SAM

GEORGETOWN: Dua badan bukan kerajaan (NGO) menentang aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) dan meminta kerajaan Persekutuan memberi pampasan kepada kerajaan negeri Kedah kerana kehilangan hasil susulan larangan pembalakan itu.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong langkah kerajaan negeri Pulau Pinang mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi antara Kerajaan Persekutuan dan pimpinan di Kedah serta Perlis.

Ia bertujuan mencari penyelesaian terbaik berhubung kegiatan pembalakan supaya hutan tadahan air di HSUM dan sekitarnya (dikenali Greater Ulu Muda Forest) dilindungi.

Presiden SAM dan CAP, S M Mohamed Idris, berkata di bawah kerajaan sebelum ini, aktiviti pembalakan banyak merosakkan kawasan semula jadi di HSUM.

"Kenyataan Datuk Jaseni Maidinsa daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengenai pembalakan di Ulu Muda akan menyebabkan hutan habis ditebang dalam 12 hingga 15 tahun akan datang serta bakal berdepan krisis air, amat membimbangkan.

"Justeru, kami harap kerajaan Kedah mengisytiharkan HSUM sebagai hutan tadahan air dan mengkaji atau membatalkan lesen pembalakan yang diluluskan kerajaan terdahulu.

"Kerajaan Kedah juga diharap dapat menghentikan semua aktiviti sedemikian dalam kawasan hutan yang mengancam fungsi sokongan hidup," katanya, hari ini.

Mohamed berkata, dana di peringkat antarabangsa seperti Dana Iklim Hijau dan Kemudahan Alam Sekitar Global untuk perlindungan dan pemuliharaan khazanah hutan boleh diteliti.

Katanya, HSUM penting bagi memenuhi keperluan air Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, selain membekalkan air kepada kira-kira 4.09 juta penduduk di tiga negeri itu.

"Kira-kira 96 peratus air mentah di Kedah, 70 peratus di Perlis dan lebih daripada 80 peratus di Pulau Pinang adalah dari Ulu Muda.

"Air mentah dari Ulu Muda penting untuk tanaman dua kali di sawah di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," katanya.

Katanya, HSUM turut berperanan sebagai 'sinki karbon' yang penting bagi menangani perubahan iklim.

Berita Harian X