Isnin, 25 Jun 2018 | 7:23pm

Country Garden Danga Bay patuhi piawaian jual beli

JOHOR BAHRU: Country Garden Danga Bay sentiasa mematuhi piawaian etika komersial yang tertinggi, selain mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan kerajaan Malaysia.

Pengurus Jenamanya, Emma Han, berkata pihaknya sedia maklum mengenai sebahagian pembeli yang membuat laporan polis bagi menjalankan siasatan berhubung perjanjian jual beli (SAP) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, semalam.

"Di Malaysia, perjanjian jual beli adalah perjanjian berkanun dan menjadi template (contoh) yang disediakan mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan), selain tiada pindaan dibenarkan.

"Sepanjang proses perjanjian jual beli adalah di bawah pengawasan yang dikawal selia oleh peguam yang mengendalikannya.

"Menurut undang-undang Malaysia, perjanjian jual beli itu menjadi efektif apabila pembeli menandatangani pada halaman tanpa sebarang keperluan bagi setiap halaman perjanjian itu akan diisytiharkan.

"Pembeli melaksanakan perjanjian jual beli dengan kehadiran seorang pengamal undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai 45 pembeli kondominium mewah di Jalan Danga Bay di sini, membuat laporan polis mendakwa kontrak jual beli ditandatangani bersama pemaju diubahsuai tanpa pengetahuan mereka.

Menerusi laporan itu, semua pengadu mendakwa ubahsuai berlaku selepas mereka menandatangani kontrak itu, selain meminta pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil perhatian.

Emma Han berkata, firma undang-undang yang bertanggungjawab dalam pengendalian perjanjian jual beli mesti dilesenkan dengan sewajarnya.

"Sekiranya terdapat keraguan, pembeli dialu-alukan untuk mendapatkan penjelasan daripada firma undang-undang yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli masing-masing.

"Country Garden Danga Bay memberi penekanan yang besar terhadap kepentingan dan kesejahteraan pembeli, selain menyediakan perkhidmatan selepas jualan dengan sewajarnya.

"Sehingga kini, pihak kami sudah menghimpunkan semua jabatan yang terbabit bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.

"Sepanjang tempoh penyiasatan sedang dijalankan, kami tidak bebas untuk memberi sebarang komen lanjut," katanya.

Berita Harian X