Isnin, 2 Julai 2018 | 4:00pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan negeri, Azman Nasrudin (dua dari kiri) membuat lawatan kerja dan taklimat projek Terminal Feri Kuala Kedah oleh Jabatan Laut di Alor Setar, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

Naik taraf Terminal Feri Kuala Kedah diteruskan

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan meneruskan projek menaik taraf Terminal Feri Kuala Kedah pada tahun depan, dengan peruntukan sebanyak RM208 juta dalam Rancangan Malaysa Ke-11 (RMKe-11).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan negeri, Azman Nasrudin, berkata tender projek itu akan dilakukan secara terbuka pada Disember ini dan kerja pembinaan dijangka mengambil masa tiga tahun.

"Kerja bagi projek terbabit akan dilakukan secara berperingkat berikutan ia akan membabitkan pemindahan bot nelayan kecil, peniaga serta penduduk berdekatan yang rata-ratanya adalah nelayan.

"Kita akan berbincang dengan nelayan berdekatan untuk mewujudkan situasi menang-menang supaya projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja dan taklimat projek Terminal Feri Kuala Kedah oleh Jabatan Laut, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Kapten Abdul Samad Shaik Osman.

Mengulas lanjut, Azman berkata, projek menaik taraf terminal itu dijangka akan memberi keselesaan dan menarik 2.4 juta penumpang setahun berbanding 1.2 juta penumpang ketika ini.

Katanya, ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk parkir yang lebih luas dan ruang kemudahan lain untuk keselesaan penumpang, sekali gus akan meningkatkan industri pelancongan di Pulau Langkawi serta tanah besar.

"Dalam usaha menarik dan menerima lebih ramai pelancong, sistem pintu automatik khas untuk bagasi turut akan dipasang di terminal berkenaan selepas ini.

"Bagaimanapun, pintu automatik ini akan terlebih dahulu dipasang di Terminal Feri Kuah, Langkawi dan Kuala Perlis pada September ini," katanya.

Berita Harian X