Khamis, 5 Julai 2018 | 12:49pm
PASUKAN Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam pertandingan Piala Dunia Tarian di Sitges, Barcelona, baru-baru ini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
NURASILAH Adibah berkongsi kegembiraan dengan ibunya Rabiah Ahmad, 53, dengan menunjukkan pingat dan tropi yang dimenanginya di Sitges, Barcelona ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Tarian 'mengalai abai' raih pengiktirafan di pentas dunia

KOTA KINABALU: Keunikan tarian 'mengalai abai' dari suku kaum Orang Sungai menawan hati juri, sekali gus membolehkan enam murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Agnes di sini, meraih pingat emas dalam pertandingan Piala Dunia Tarian di Sitges, Barcelona, baru-baru ini.

Lebih manis, walaupun dalam percubaan pertama menyertai pertandingan itu, mereka turut menggondol emas untuk tarian zapin dan perak untuk tarian Mengalap bersama gabungan beberapa pelajar sekolah lain.

Kumpulan dikenali Stadansa itu diwakili Jordan Anthony, Dhestiansia Narendra, Nelvend Ivan, Ivy Michelle, Avril Joanne Amatius serta Ameena Zulaika Amlee, semuanya berusia 12 tahun.

Mereka mengakui amat berbangga kerana bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah dapat memperkenalkan kebudayaan unik negara ini di mata dunia.

Kumpulan murid Tahun Enam itu memenangi emas kategori Children Small Group National and Folklore dan Children Duet/Trio National and Folklore, manakala perak menerusi kategori Junior Small Group National & Folklore bergabung dengan Tagaps Dance Theatre.

Nelvend Ivan berkata, hasil usaha, kegigihan latihan dan sokongan pihak sekolah dan ibu bapa sejak Februari lalu berjaya membuahkan hasil membanggakan.

"Sangat gembira, tidak sangka boleh menang. Ketika persembahan, semua yang diajar oleh guru tari kami dapat dilakukan dengan sempurna.

"Sekiranya diberi peluang lagi, kami berhasrat menyertai kejohanan dunia itu sekali lagi tahun depan yang akan diadakan di Bulgaria," katanya ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, awal pagi ini.

Sementara itu, Nurasilah Adibah, 14, dari Sekolah Menengah Maktab Sabah menjadi wakil Malaysia terbaik apabila merangkul pingat emas dan perak dalam kategori Solo National, Small Group National dan Small Group Hip Hop.

Pelajar Tingkatan Dua itu turut menerima Anugerah Most Outstanding Solo National selepas aksi tarinya berjaya menawan hati juri yang mengadili pertandingan berprestij itu.

Ketua Kontinjen Malaysia, Mohd Azizan Daniel Abdullah berkata, pencapaian kali ini amat membanggakan apabila pasukan negara berjaya menduduki tempat ketujuh keseluruhan daripada 46 negara bertanding.

Katanya, pada penyertaan kali ini, Malaysia menggondol keseluruhan enam emas, tiga perak dan dua gangsa daripada 30 kategori yang dipertandingkan.

"Kita harap kejayaan ini memberi nafas baharu kepada tarian kebudayaan dan membuka mata lebih banyak pihak untuk membantu dari segi kewangan dan aspek lain," katanya.

Beliau berkata, pasukan negara mempunyai 33 peserta yang layak ke pertandingan itu tetapi atas faktor kekurangan dana, mereka hanya mampu membawa 15 peserta.

Berita Harian X