Khamis, 5 Julai 2018 | 1:36pm
LONGGOKAN bauksit sekitar tahun 2016 di FELDA Bukit Goh. - Foto fail NSTP
LONGGOKAN bauksit sekitar tahun 2016 di FELDA Bukit Goh. - Foto fail NSTP

Moratorium tamat: Kerajaan diminta putuskan status perlombongan bauksit

KUANTAN: Pengusaha lombong bauksit dan penduduk FELDA Bukit Goh, di sini, meminta kerajaan membuat keputusan segera berhubung status perlombongan bauksit di daerah ini selepas tempoh moratorium berakhir 30 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Datuk Dr Abdul Wahid Abd Manap, berkata kerajaan perlu memberi jawapan mengenai nasib industri perlombongan bauksit, selain ada yang meminta dikaji semula langkah mengenakan moratorium itu.

Katanya, pentadbiran terdahulu menguatkuasakan moratorium itu sejak 2016 bagi mengurangkan pencemaran, membanteras perlombongan haram dan pengeluaran berlebihan, serta menangani isu peneroka FELDA memajak tanah mereka untuk aktiviti mengeluarkan bauksit.

"Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar perlu bertemu dengan pihak industri, pengusaha lombong dan peneroka bagi memberi penjelasan mengenai nasib serta masa depan kegiatan perlombongan bauksit, selain perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang akan dilakukan.

"Malah, pihak kementerian dan menteri (Yeo Bee Yin) perlu melawat bekas lombong bauksit serta bertemu pihak berkaitan, sekali gus mengeluarkan garis panduan baharu dan menyelesaikan masalah peneroka ditipu pengusaha lombong sebelum ini," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Naib Presiden Persatuan Pengusaha Bahan Mineral Pahang, Yap Soon Huat, pula berkata pertemuan antara persatuan itu dengan pihak kementerian akan dapat menyelesaikan masalah ketidaktentuan berkaitan aktiviti perlombongan bauksit.

"Kita berharap kerajaan baharu akan proaktif mencari jalan penyelesaian secara menang-menang bagi semua pihak berkaitan. Pengusaha lombong bauksit juga akan mematuhi semua peraturan baharu ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Bauksit Kuantan (GERAM), Ali Akbar Othman, berkata perbincangan menyeluruh perlu dibuat dengan membabitkan masyarakat setempat bagi menyelesaikan perkara itu secara jangka panjang.

"Berilah masa kepada kerajaan sedia ada. Kita pasti isu bauksit ini akan diberikan perhatian sewajarnya. Kita bersimpati dengan nasib peneroka FELDA yang tanah mereka dilombong, sekali gus tidak boleh menanam kelapa sawit lagi," katanya.

Seorang pengusaha lombong bauksit yang enggan dikenali pula mendakwa, kerajaan terdahulu gagal memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP), sebaliknya mengenakan moratorium terhadap mereka.

"Mereka (kerajaan terdahulu) hanya mengumumkan rancangan untuk membina laluan berasingan dan membenarkan lori jenis paka mengangkut bauksit tanpa terjatuh di atas jalan raya, namun tiada tindakan dibuat hingga kini," katanya.

Moratorium itu dikuatkuasakan sejak 15 Januari 2016 susulan aduan orang ramai mengenai pencemaran debu bauksit sehingga menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran lombong terbabit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X