Isnin, 9 Julai 2018 | 6:41pm
ORANG ramai melawat pameran Kartun dan Kita yang diadakan bermula Julai sehingga Oktober di Muzium Negeri. - Foto Rozainah Zakaria
ORANG ramai melawat pameran Kartun dan Kita yang diadakan bermula Julai sehingga Oktober di Muzium Negeri. - Foto Rozainah Zakaria
ORANG ramai melawat pameran Kartun dan Kita yang diadakan bermula Julai sehingga Oktober di Muzium Negeri. - Foto Rozainah Zakaria

Pameran Kartun 10 Dekad

KUALA TERENGGANU: Pameran Kartun dan Kita yang menampilkan lebih 500 karya kartun popular bermula era tahun 20-an dijangka menarik kira-kira 100,000 peminat kartun di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, pameran yang berlangsung bermula 1 Julai hingga 31 Oktober depan akan mempamerkan pelbagai jenis karya hasil lukisan 100 kartunis dari seluruh negara antaranya Ujang, Fatah dan Datuk Lat.

Beliau berkata, pameran yang julung kali diadakan di Terengganu itu mampu memberi kesan positif kerana kartun dan komik dekat dengan hati masyarakat tanpa mengira peringkat usia.

"Pameran ini boleh menarik perhatian pelbagai peringkat masyarakat, tidak hanya golongan kanak-kanak tetapi golongan dewasa kerana apa yang dipamerkan adalah bahan bacaan hiburan yang terdiri daripada komik kartun lama, iaitu sekitar era 70-an sehingga kini.

"Ia amat popular serta dibaca kanak-kanak ketika era berkenaan. Kini, mereka mungkin sudah dewasa atau menginjak ke usia emas dan nostalgia itu pasti terpahat di hati mereka.

"Kita harap pameran ini mampu menarik pengunjung bukan hanya dalam kalangan penduduk Terengganu tetapi luar termasuk pelancong asing kerana penganjuran ini mampu memberi kesan positif kepada industri pelancongan negeri ini," katanya ketika Majlis Perasmian Pameran Kartun dan Kita di Muzium Negeri di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah; kartunis tanah air, Datuk Lat atau nama sebenarnya, Datuk Mohammad Nor Khalid dan Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar.

Pameran Kartun dan Kita diadakan buat kali pertama di Muzium Negara tahun lalu dan Terengganu menjadi lokasi kedua penganjuran hasil kerjasama Jabatan Muzium Malaysia, Persatuan Rumah Kartun dan Persatuan Animasi Malaysia.

Turut diwujudkan satu sudut khas untuk kartunis tempatan berasal dari Dungun iaitu Fatah Ngah yang sangat terkenal dengan karya Lagak A Mamud.

Hasil karya lukisan kartun sepanjang 4.2 meter dibuat khas oleh kartunis Aza.

Sementara itu, Che Muhamad Azmi berkata, pihaknya turut merancang melanjutkan tempoh pameran berkenaan sehingga akhir tahun ini sekiranya sambutan diterima menggalakkan.

Katanya, pameran berkenaan adalah peluang terbaik untuk peminat kartun untuk mengenali lebih dekat karya hasil kartunis hebat negara.

Berita Harian X