Rabu, 11 Julai 2018 | 6:06pm
PKHARUDDIN beramah mesra bersama pengunjung yang hadir pada majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. - Foto Hazreen Mohamad

Guru perlu ambil inisiatif sendiri selepas audit SKPMg2 dimansuh

SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan meminta guru di negeri itu mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan pengurusan sistematik diteruskan berikutan pemansuhan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2).

Pengarahnya Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya mematuhi semua arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan termasuk pemansuhan audit SKPMg2 yang dijalankan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) sebelum ini.

"Walaupun tanpa audit SKPMg2, guru harus menyediakan senarai semak sendiri untuk memantau prestasi kerja dan membolehkan mereka mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri untuk penambahbaikan.

"Saya rasa banyak kekeliruan berlaku mengenai audit SKPMg2 sebelum ini. Memang menjadi beban kepada guru jika perlu melaksanakan semua senarai semak di dalam audit berkenaan tetapi mungkin kita boleh mengambil asas daripada sistem itu sebagai panduan," katanya ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri jabatan itu di sini, hari ini.

Pada 7 Jun lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan siri audit SKPMg2 yang sedang dijalankan JNJK dihentikan berkuat kuasa serta-merta.

Maszlee berkata, bagi membantu pihak pengurusan sekolah memantapkan penggunaan audit SKPMg2 dengan berkesan, JNJK akan meneruskan sesi latihan dan bimbingan yang diperlukan.

Dalam perkembangan lain, Pkharuddin berkata, jabatan itu melancarkan kempen 'Jom Poie Nolong Sekolah' pada Oktober lalu untuk menggalakkan penyertaan orang ramai terutama ibu bapa dalam membantu menyediakan persekitaran lebih kondusif di sekolah.

"Program ini mendapat sambutan ibu bapa terutama melalui aktiviti gotong-royong, projek mencantikkan makmal sains dan ceramah motivasi," katanya.

Berita Harian X