Jumaat, 13 Julai 2018 | 10:23am

5 tan durian habis 30 minit

JITRA: Musim durian yang luar biasa membuka pintu rezeki kepada seorang peniaga yang dapat menjual antara empat ke lima tan raja buah itu setiap hari di kedainya di Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) FAMA, Kepala Batas.

Peniaga, Mohd Azizi Azizan, 28, berkata dia terpaksa menambah bekalan durian kampung itu sehingga lima tan sehari mulai semalam, berikutan durian yang dijual di kedainya habis dalam masa 30 minit sebelum ini.

Mohd Azizi berkata, dia sebelum ini terpaksa menanggung kerugian sepanjang Ramadan lalu, akibat jualan buah-buahan merudum, namun jualannya kembali meningkat ketika ini.

"Kebanyakkan durian ini dibeli dari Balik Pulau, Pulau Pinang dan Batu Kurau, Perak kerana berlaku lambakan durian di sana dan kami menjualnya di sini dengan harga antara RM5 hingga RM8 sekilogram.

"Saya memang tidak sangka ramai pelanggan sanggup datang jauh dari luar Kedah semata-mata mahu menikmati raja buah dengan harga berpatutan dan isi yang baik," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Azizi berkata, selain menikmati keenakan durian, pelanggan juga boleh merasai hidangan pulut durian serta pelbagai jenis cendol termasuk cendol durian dan minuman buah-buahan lain.

"Ada pelanggan sanggup menunggu hampir dua jam di perkarangan gerai sehingga lori sampai bagi memilih sendiri buah yang mahu dibeli.

"Saya tidak kisah jika ada pelanggan datang merungut buah yang dibeli tidak memuaskan hati kerana kami sendiri tidak tahu berikutan jumlah yang tiba terlalu banyak," katanya.

Mohd Azizi berkata, dia juga menambah penyediaan 15 kilogram pulut untuk dihidangkan kepada pelanggan setiap hari selain santan kelapa sawit segar.

ORANG ramai membanjiri pekarangan gerai GBBS Kepala Batas untuk membeli durian kampung dari Balik Pulau Pulau Pinang dan Batu Kurau Perak. - Foto Shahrizal Md Noor
Berita Harian X