Jumaat, 13 Julai 2018 | 7:31pm

TNB memperuntukkan RM2.4 juta bagi kajian kelip-kelip

REMBAU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM2.4 juta bagi menjalankan kajian ke atas habitat kelip-kelip dalam memastikan kehidupan itu terus terpelihara.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, kajian selama tiga tahun itu dijalankan anak syarikat TNB melalui TNB Research bermula Mei tahun lalu.

Katanya, pada peringkat awal pihaknya mengenal pasti 10 kawasan kelip-kelip sebelum menyenarai pendek dengan memilih tiga lokasi kajian.

"Antara kawasan terpilih ialah di Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan; Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu dan Kampung Dew, Taiping, Perak.

"Kajian meliputi mengenal pasti populasi kelip-kelip, serangga yang hidup bersama, mutu air, tahap pencemaran, kesan perubahan guna tanah terhadap kelip-kelip dan sebagainya.

"Hasil kajian yang menelan belanja RM2.4 juta itu akan dihantar kepada pengurusan tertinggi TNB sebelum diberi kepada kerajaan negeri untuk tindakan bersama menjaga kehidupan ini," katanya kepada pemberita pada majlis Jamuan Aidilfitri bersama penduduk Kampung Sungai Timun di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik dan Pengurus Besar TNB negeri, Wan Ishak Soed.

Mohd Aminuddin berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu juga salah satu usaha TNB dalam meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat.

"Dengan adanya kelip-kelip, ia mampu menarik pelancong dan secara langsung meningkatkan ekonomi penduduk," katanya.

Sementara itu, tambah Aminuddin, pihaknya menyambut baik usaha TNB dalam meningkatkan produk pelancongan di kawasan itu.

"Kawasan ini yang berhampiran dengan Port Dickson dapat menjadi nilai tambah buat pengunjung untuk melakukan kegiatan malam selepas beriadah di laut.

"Kita juga akan mengenengahkan kawasan dengan lebih menarik bagi meningkatkan lebih ramai pengunjung," katanya.

Berita Harian X