Selasa, 17 Julai 2018 | 1:57pm
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan Anugerah Darjah Datuk Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPDJ) kepada Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin ketika Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-75 di Istana Arau. - Foto Azhar Ramly
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan memberi tabik hormat kepada kontinjen perbarisan ketika Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-75 di Istana Arau. - Azhar Ramly

Sultan Kedah dahului senarai penerima darjah Raja Perlis

ARAU: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, mendahului senarai 298 penerima darjah serta pingat kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-75, tahun ini.

Baginda akan menerima Darjah Kerabat Tuanku Syed Putra Jamalullail (DK) dalam suatu istiadat khas yang akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri yang dikurniakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, sempena istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Arau, di sini, hari ini.

Raja Perlis turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 33 lagi individu pada majlis sama.

Antaranya Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail yang dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Lima individu menerima Darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk iaitu bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis, Ahmad Bakri Ali; Ahli Jawatan Kuasa Kewangan Majlis Agama Islam Perlis, Datuk Ir Wan Ab Ghaffar Wan Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zulfikri Osman; Panglima 1 Divisyen Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Toh Choon Siang dan Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin pula dianugerahkan Darjah Datuk Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang membawa gelaran Datuk.

Tiga lagi individu turut dianugerahkan DPSJ iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Amir Omar dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Abdul Karim Abu Seman.

Dalam pada itu, seramai lima individu disenarai menerima Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP), diikuti 18 penerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP).

Berita Harian X