Rabu, 18 Julai 2018 | 5:11pm
ALWI merasmikan Majlis Pelancaran Fiesta Buah-Buahan Bermusim Peringkat Negeri Johor 2018 di Kota Iskandar, Johor Bahru. - Foto Mohd Sabram Md Sani

Tiada lambakan durian di Johor susulan promosi berterusan

ISKANDAR PUTERI: Pengusaha durian di negeri ini tidak perlu bimbang mengenai lambakan buah terbabit berikutan pelbagai usaha promosi sedang dilaksanakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor, Alwi Anang berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertanian sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan itu.

"Pengusaha durian di negeri ini tidak perlu bimbang kerana lambakan buah tidak berlaku meskipun terdapat peningkatan pengeluaran 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kita sudah mengadakan persiapan awal menghadapinya (lambakan) dengan mengadakan pelbagai promosi jualan buah-buahan terbabit di seluruh negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Fiesta Buah-Buahan Bermusim Peringkat Negeri Johor 2018 di Kota Iskandar hari ini.

Katanya, ketika ini 20 pengeksport dan 20 pengeluar buah sudah mula mengumpul buah-buahan terbabit di pasaran.

"Mereka mengumpul durian dan sudah ada tempat untuk menyimpan buah terbabit secara sejuk beku, langkah ini sekali gus dapat menstabilkan harga buah durian.

"Pada masa sama, orang ramai perlu tahu durian adalah sumber kekayaan baharu dan mereka digalakkan menanam durian klon termasuk Musang King yang mempunyai harga pasaran tinggi," katanya.

Katanya, bagi mengimbangi pengeluaran pastri durian turut dihasilkan ketika musim buah berkenaan sedang bermula dan berakhir pertengahan Ogos ini.

Mengulas lanjut katanya, harga raja buah terbabit berada di bawah paras siling dan langkah membantu petani memasarkan buah itu memastikan petani memperoleh keuntungan.

"Pada masa sama, pengguna mampu membeli pada harga sesuai berbanding harga tahun sebelumnya.

"Sebagai contoh Musang King dulu berharga RM100 sekilogram dan kini antara RM20 hingga RM30 sekilogram," katanya.

Berita Harian X