Khamis, 19 Julai 2018 | 4:35pm
ORANG ramai memilih pelbagai jenis durian segar dari ladang yang dijual pada harga istimewa pada Jualan Buah-Buahan Bermusim anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri.Harga bagi sekilogram durian kampung ialah RM5 dan RM10 bagi durian klon D186 dan D24. - Foto BERNAMA
ORANG ramai memilih manggis segar dari ladang yang dijual pada harga istimewa pada Jualan Buah-Buahan Bermusim anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri hari ini.
 - Foto BERNAMA

16 tan buah habis dijual tak sampai 2 jam

KUALA TERENGGANU: Licin!. Sebanyak 16,000 kilogram buah-buahan tempatan seperti durian, manggis dan rambutan habis dijual di perkarangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu dalam tempoh tidak sampai dua jam, hari ini.

Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamad berkata, program 'Jualan Anak Beranak' itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai memandangkan harga yang ditawarkan lebih murah antara lima ke 20 peratus berbanding harga pasaran.

"Memandangkan sambutan diterima hari ini cukup memberangsangkan, kita akan meningkatkan bilangan kuantitinya kepada 30,000 kilogram pada Khamis, 26 Julai..... stok buah-buahan ini kita peroleh daripada Johor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Kedah," katanya kepada pemberita di perkarangan pejabat FAMA negeri di sini hari ini.

Untuk penganjuran kali pertama hari ini, beliau berkata FAMA Terengganu mendapatkan stok buah-buahan tempatan daripada 200 pengusaha dan jumlah itu akan meningkat kepada 400 pengusaha untuk acara akan datang.

Tinjauan Bernama mendapati durian kampung hanya dijual RM5 sekilogram berbanding di pasaran antara RM8 hingga RM10 manakala manggis pula dijual RM3 sekilogram berbanding harga pasaran RM6 hingga RM8.

Seramai 60 pegawai dan kakitangan FAMA Terengganu terlibat sepanjang jualan itu berlangsung. - BERNAMA

Berita Harian X