X
Jumaat, 20 Julai 2018 | 4:25pm
BEKAS kantin sekolah yang dijadikan kelas pembelajaran murid Tahun Dua di SK Sukau di Kinabatangan. - Foto Juzaimie Jazlan
BEKAS kantin sekolah yang dijadikan kelas pembelajaran murid Tahun Dua di SK Sukau di Kinabatangan. - Foto Juzaimie Jazlan

Terpaksa belajar di bangunan bekas kantin

KINABATANGAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau di sini, berdepan masalah kekurangan bilik darjah hingga memaksa pengurusan sekolah menggunakan bangunan kayu yang usang dan makmal komputer sebagai tempat pembelajaran.

Masalah itu membabitkan 54 murid Tahun Dua yang kini ditempatkan di bangunan kayu usang bekas kantin sekolah, selain 32 murid Tahun Empat yang ditempatkan di bekas makmal komputer sekolah berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Takrin Abdullah, berkata bangunan kayu bekas kantin sekolah berkenaan dijadikan kelas sejak 2012 atas inisiatif guru.

Katanya, seramai 54 pelajar Tahun Dua sekolah itu bukan saja bersesak dalam kelas yang tidak selesa, malah berdepan risiko tangga licin ketika hujan, selain ancaman binatang berbisa seperti ular dan lipan kerana kedudukannya bersebelahan kawasan hutan.

SEBAHAGIAN murid-murid SK Sukau mengikuti pembelajaran di bangunan bekas kantin sekolah yang diubah suai menjadi kelas. - Foto BERNAMA
SEBAHAGIAN murid-murid SK Sukau mengikuti pembelajaran di bangunan bekas kantin sekolah yang diubah suai menjadi kelas. - Foto BERNAMA

"Ia adalah kantin lama sekolah tetapi disebabkan kelas tidak mencukupi, pihak pengurusan sekolah mengubahsuai kantin itu dengan memasang dinding di tengah bangunan bagi menjadikannya kepada dua kelas untuk murid Tahun Dua.

"Sebelum ini, beberapa kali hidupan liar seperti babi hutan masuk ke kawasan kantin berkenaan dan lebih membimbangkan murid yang belajar di kelas terbabit terdedah kepada ancaman binatang berbisa seperti ular dan lipan," katanya kepada NSTP, di sini.

Beliau berkata, murid Tahun Empat yang belajar dalam bekas bilik makmal komputer sejak 2014 pula berdepan risiko renjatan elektrik, selain menggunakan meja dan kerusi yang tidak selesa kerana banyak patah selain ada lantai yang reput.

Katanya, pusat sumber sekolah pula panas kerana tiada penyaman udara, malah gelap kerana banyak lampu tidak berfungsi, selain kekurangan kemudahan pembelajaran tambahan seperti komputer.

Seorang murid Tahun Empat, Miza Juhaidah Kamsah, 10, berkata sesi pembelajaran setiap hari tidak selesa kerana terpaksa menggunakan kerusi rosak, selain suasana bilik darjah yang panas.

Katanya, mereka sangat berharap dapat belajar dalam suasana yang selesa seperti dinikmati murid di sekolah lain.

Penolong Kanan Satu sekolah berkenaan, Norsin Gapar, berkata SK Sukau adalah antara sekolah yang menjadi pilihan ibu bapa untuk anak mereka mendapatkan pendidikan.

"Sekolah ini juga menjadi tumpuan lawatan pelancong untuk melihat sistem pendidikan negara kita, selain memenuhi kajian mereka berkaitan pendidikan, jadi amat penting sekolah ini dinaik taraf agar usaha menjadikan sekolah ini sebagai sekolah pelancongan tercapai," katanya.

SK Sukau dibuka sejak 1952 dan terletak dalam kawasan ekopelancongan Sukau, di sini yang menjadi tumpuan pelancong, khususnya dari luar negara.

Murid sekolah berkenaan kebanyakannya adalah anak penduduk Kampung Sukau dan Kampung Gomantong Jaya di sini, selain anak pekerja ladang di kawasan berhampiran.

Ketika ini SK Sukau dilengkapi dua blok bangunan konkrit, selain beberapa bangunan kayu yang berusia lebih separuh abad, dengan seramai 358 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam, selain 75 murid prasekolah menjalani pembelajaran, membabitkan seramai 31 guru.

Berita Harian X