Jumaat, 20 Julai 2018 | 5:15pm
MAIMUNAH (kanan) dan anggota keluarganya membuat persiapan kenduri kesyukuran sebelum berangkat ke Tanah Suci di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar

Sayu tidak dapat tunai haji bersama dua kakak

ALOR GAJAH: Ketika Maimunah Husin dan dua kakaknya mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH), 10 tahun lalu, mereka berharap dapat menunaikan ibadah haji bersama-sama suatu hari nanti.

Bagaimanapun, hanya Maimunah, 54, menerima surat tawaran TH pertengahan Mei lalu untuk berangkat ke tanah suci Makkah pada musim haji tahun ini.

"Hati memang sayu apabila mengenangkan dua kakak, Siti Mariam, 69, dan Mahaya, 62, tidak menerima tawaran itu kerana saya amat berharap kami tiga beradik dapat pergi bersama-sama.

"Namun, saya reda dengan hak Allah SWT menentukan siapa menjadi tetamu-Nya, dan berdoa semoga mereka dipilih pula pada tahun depan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah, di sini.

Maimunah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik berkata, selepas bersara sebagai operator kilang, beliau hanya bergantung pada pendapatan kecil tetapi tetap cekal menghadapi kesukaran demi mencapai impian menunaikan ibadah haji.

"Setiap kali memperoleh pendapatan, saya menabung ke dalam akaun TH kerana benar-benar ingin menjejakkan kaki di tanah suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadah amat indah ini," katanya.

Beliau berkata, segala persiapan menjelang penerbangannya ke Jeddah pada 10 Ogos depan, sudah dilakukan dan kini lebih memberi tumpuan terhadap persediaan dari segi kekuatan mental.

"Saya berdoa semoga Allah SWT memberi kemudahan kepada diri ini bersama jemaah dalam menyempurnakan ibadah haji di tanah suci nanti," katanya.

Berita Harian X