Jumaat, 20 Julai 2018 | 8:23pm
Menteri Besar, Aminuddin Harun melawat tapak pameran expo perumahan selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX NS 2018) Peringkat Negeri Sembilan anjuran REDHA NS di Tingkat bawah, Seremban Prima. - Foto Hazreen Mohamad

Dasar rumah kouta Bumiputera akan dikaji semula

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengkaji semula dasar perumahan negeri bagi mengatasi masalah lambakan unit rumah kuota Bumiputera yang tidak terjual.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata ini adalah selaras dengan cadangan yang dikemukakan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) untuk kerajaan menyemak semula dasar kuota Bumiputera bagi memberi rangsangan kepada sektor itu.

"Wakil dari REDHA ada mengemukakan pandangan dan permasalahan unit rumah Bumiputera yang tidak terjual. Antara masalah yang dikenal pasti adalah pembinaan unit rumah Bumiputera yang terletak di kawasan ramai penduduk bangsa lain selain tiada pembangunan di sekitarnya.


Menteri Besar, Aminuddin Harun melawat tapak pameran expo perumahan selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX NS 2018) Peringkat Negeri Sembilan anjuran REDHA NS di Tingkat bawah, Seremban Prima. - Foto Hazreen Mohamad

"Walaupun diiklankan dan dipromosikan, unit-unit Bumiputera ini masih gagal dijual. Ini memberi kesan kepada pemaju dan mereka meminta kerajaan negeri mengkaji semula dasar perumahan di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Ekspo Hartanah Malaysia 2018(Mapex NS 2018) peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden REDHA, Datuk Ir Soam Heng Choon.

Aminuddin berkata, kerajaan akan mengkaji serta melihat permasalahan itu daripada setiap sudut dan mendapatkan pelbagai pandangan sebelum membuat sebarang keputusan kerana masing-masing (pemaju dan pembeli) mempunyai masalah.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru dan akan mengambil kira pandangan semua pihak.

"Perkara paling penting ialah memastikan pembangunan dapat diteruskan dan pada masa sama tidak memberi kesan negatif kepada kedua-dua pihak," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menegaskan kuota perumahan bagi Bumiputera di negeri ini akan dikekalkan pada tahap 50 peratus membabitkan 15 peratus pada harga tidak melebihi RM80,000; 15 peratus lagi tidak melebihi RM250,000 dan 20 peratus lagi pada kadar RM400,000.

Berita Harian X