Sabtu, 21 Julai 2018 | 6:41pm
Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (hadapan, tengah) bersama para pelajar dan tenaga pengajar pada majlis Konvokesyen DRB-Hicom University of Automotive Malaysia Ke-5 hari ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Canselor DRB-Hicom University of Automotive Malaysia Prof Datuk Dr Omar Osman. - Foto BERNAMA

Persiapkan golongan muda hadapi revolusi industri

PEKAN: Semua pihak digesa mempersiapkan golongan muda di negara ini bagi menghadapi Revolusi Industri Ke-4 yang menekankan teknologi automasi dan mengurangkan tenaga manusia.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah Malaysia akan mundur dan ketinggalan jauh berbanding negara lain di dunia sekiranya tiada persediaan awal bagi menghadapi situasi berkenaan.

"Kehadiran revolusi industri keempat yang menekankan kepada teknologi automasi dan realiti alam maya pasti akan memberi impak terhadap pelbagai aspek kehidupan.

"Landskap dunia pada masa depan yang berlandaskan kepada teknologi automasi dan sistem maklumat boleh menggantikan kebanyakan pekerjaan yang dilakukan manusia," titahnya pada Majlis Konvokesyen Ke-5 Universiti Automotif DRB-HICOM, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Naib Canselor Universiti Automotif DRB-HICOM, Profesor Datuk Seri Dr Omar Osman.

Seramai 707 graduan menerima diploma masing-masing dalam bidang automotif, pembuatan, pengurusan dan perniagaan pada majlis yang berlangsung selama dua hari berakhir esok.

Sementara itu, penerima Anugerah Canselor, Adlina Syazlin Faizul, 21, berkata perbezaan jantina bukan halangan baginya untuk memilih bidang automotif yang biasanya dimonopoli golongan lelaki.

Sebaliknya, dia menjadikan keadaan itu sebagai cabaran buatnya untuk bersaing sekali gus membuktikan golongan wanita juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki.

"Bagi mencapai impian bergelar jurutera, saya tidak kisah 'bermain' dengan mesin dan jentera berat atau menjadi golongan minoriti di dalam kelas mahupun di bengkel.

"Jika berada dalam kelas saya akan menumpukan sepenuh perhatian ketika proses pembelajaran dan sering berjumpa dengan pensyarah sekiranya mempunyai sebarang masalah," katanya.

Adlina Syazlin adalah penuntut Diploma Teknologi Perkhidmatan Automotif yang memperoleh Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.98.

Berita Harian X