Selasa, 24 Julai 2018 | 7:44am
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, Fatin Nadia Norhisham, 12 menunjukkan sebahagian pingat yang dimenanginya kerana handal dalam permainan catur sehingga mampu menempa nama ke peringkat kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selama tiga tahun berturut-turut ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Bok. - Foto Zaman Huri Isa
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, Fatin Nadia Norhisham, 12 menunjukkan sebahagian pingat yang dimenanginya kerana handal dalam permainan catur sehingga mampu menempa nama ke peringkat kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selama tiga tahun berturut-turut ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Bok. - Foto Zaman Huri Isa

Daripada larangan tonton televisyen ke juara MSSK

MACHANG: Disiplin yang diterap termasuk larangan menonton televisyen berhasil membentuk peribadi seorang kanak-kanak perempuan menjadi seorang yang kental sehingga berjaya dalam bidang sukan yang diceburi.

Fatin Nadia Norhisham, 12, dari Kampung Tok Bok, di sini, menjadi kebanggaan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, di sini, apabila dia menjadi juara catur (kategori perempuan 12 tahun) di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Kelantan (MSSK), pada tahun ini.

Malah namanya tidak asing lagi dalam permainan catur apabila turut menjadi wakil negeri ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selama tiga tahun berturut-turut.

Fatin Nadia mengakui disiplin yang diterapkan bapanya, Norhisham Nazimuddin, 35, sejak kecil lagi menjadi pemangkin terhadap perkembangan bakatnya sehingga mampu mencipta kejayaan dalam permainan itu sekaligus mengharumkan nama sekolahnya.

"Saya mula meminati catur ini seawal umur tujuh tahun lagi apabila waktu itu saya tidak dibenarkan untuk menonton televisyen atau bermain telefon bimbit dan hanya dibenarkan ketika waktu lapang saja.

"Jadi bagi mengisi masa yang ada ketika itu ayah menghadiahkan satu set permainan catur untuk saya bermain bersama adik, Adi Saifuddin (10 tahun) ketika berada di rumah.

"Lama kelamaan saya semakin minat terhadap catur sehingga mendorong saya menyertai pertandingan dianjurkan pihak sekolah bermula di Tahun Tiga sehingga kini saya terpilih ke peringkat MSSM mewakili negeri," katanya ketika ditemui di sini.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, Fatin Nadia Norhisham, 12 ketika ditemui bersama keluarganya di Kampung Tok Bok. - Foto Zaman Huri Isa
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, Fatin Nadia Norhisham, 12 ketika ditemui bersama keluarganya di Kampung Tok Bok. - Foto Zaman Huri Isa

Beberapa pencapaian di peringkat MSSK diraih Fatin Nadia bermula pada tahun 2016 apabila mendapat tempat ketiga, tempat kedua pada tahun lalu dan tempat pertama di peringkat yang sama (kategori perempuan 12 tahun) pada tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Fatin Nadia berkata bergerak aktif dalam permainan itu tidak menghalangnya untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran jika menguruskan masa dengan betul.

"Saya menjalani latihan pusat waktu petang pada setiap hari Khamis di Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Petra selain beberapa latihan sendiri yang dilakukan menerusi aplikasi 'Chess.com' pada hujung minggu.

"Dalam masa itu saya tidak terlepas untuk mengikuti kelas tambahan di sekolah dan ia tidak menjejas tumpuan saya untuk mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Ujian Rendah Sekolah Rendah (UPSR).

Sementara itu, bapanya, Norhisham berkata dia sentiasa memantau pembelajaran anak sulung daripada empat beradik itu bagi memastikan perkembangan akademik dan kokurikulum anaknya bergerak seiring.

"Sehingga kini saya belum membenarkannya menonton televisyen atau bermain telefon bimbit kecuali di masa lapang kerana bagi saya belum tiba masa lagi untuknya berbuat demikian.

"Saya sering memantau dalam masa sama memberi penuh dorongan untuknya aktif dalam permainan itu selain meminta beberapa kenalan yang juga jurulatih catur negeri iaitu Mohd Saufi Deraman serta Nik Mohd Azrihan Abd Ghaffar bagi mengasahkan lagi bakatnya," katanya.

Norhisham yang bekerja sebagai pembantu operasi di sini turut berharap bakat pada anaknya mampu membuka peluang untuk terus mencipta nama ke peringkat lebih tinggi.

"Insya-Allah jika terus fokus dengan minatnya itu saya yakin dia mampu pergi lebih jauh memandangkan usianya masih muda dan dengan menyertai pertandingan yang dianjurkan ia membolehkan dapat lebih pengalaman," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X