Selasa, 24 Julai 2018 | 12:51pm

MBSA terima 482 aduan pengurusan strata sehingga Jun

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima 482 aduan berkaitan masalah pengurusan strata sehingga Jun tahun ini.

Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar, berkata aduan berkenaan yang diterima Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

"Tahun lalu, sebanyak 632 aduan dilaporkan dan semua yang diterima membabitkan aspek penyenggaraan bangunan dan harta bersama, akaun dan kewangan, pentadbiran dan pengurusan, mesyuarat dan pemilihan serta penguatkuasaan.

"Aduan yang paling banyak diterima adalah berkaitan kewangan Badan Pengurusan Bersama (JMB) iaitu penghuni atau pemilik rumah tidak menjelaskan yuran selenggara," katanya selepas merasmikan Seminar Pengurusan Strata Tahun 2018 di Wisma MBSA, di sini.

Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Shah Alam, Rosli Bakar (dua kanan) melawat pameran selepas merasmikan Seminar Pengurusan Strata 2018 di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Rosli berkata, penghuni atau pemilik rumah diminta merujuk kepada Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) apabila mereka berdepan dengan masalah membabitkan caj penyelenggaraan.

Katanya, pengenalan cukai petak yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu bagi menggantikan cukai tanah banyak memberikan kesan positif kepada pengurusan strata.

"Antaranya, ia mengurangkan masalah yang dihadapi pihak pengurusan bangunan dalam membuat kutipan cukai tanah melalui wang caj penyenggaraan serta memudahkan pemilik petak melaksanakan urus niaga, terutama jual beli," katanya.

Pada majlis itu, kira-kira 200 wakil daripada JMB dan Perbadanan Pengurusan (MC) di bawah pengurusan MBSA menyertai seminar yang diadakan bagi memberikan pendedahan secara menyeluruh mengenai Pengurusan Bangunan Berstrata.

Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Shah Alam, Rosli Bakar (sembilan kanan) bersama peserta selepas merasmikan Seminar Pengurusan Strata 2018 di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Berita Harian X