Selasa, 24 Julai 2018 | 5:42pm
BAKRI (kanan) bersama pelajar menikmati buah-buahan selepas merasmikan Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2, di Seremban, hari ini. - Foto Mohd Amin Jalil

Majlis rasmi kerajaan negeri perlu ada buah-buahan tempatan

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan mewujudkan peraturan baharu menetapkan semua majlis rasmi disajikan menu buah-buahan tempatan sebagai galakan mengamalkan pemakanan sihat

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir, berkata langkah itu bertujuan menggalakkan orang ramai memakan buah-buahan tempatan berkhasiat.

Katanya, usaha itu juga dapat membantu pengusaha buah-buahan tempatan memasarkan hasil ladang mereka, sekali gus meningkatkan pendapatan.

"Kita seharusnya menggalakkan rakyat mengambil buah-buahan tempatan yang bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah mengandungi pelbagai vitamin dan mineral.

"Ketika ini, penduduk yang mengambil buah-buahan tempatan masih kurang dan tidak mencapai tahap 50 peratus. Justeru, aktiviti mempromosikannya perlu ditingkatkan supaya ia dapat dijadikan amalan bagi semua rakyat, terutama golongan muda.

"Menerusi kempen dan promosi yang meluas berkaitan khasiat buah-buahan tempatan, penduduk akan menjadikan makanan itu sebagai suatu budaya dalam kehidupan," katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Muslim Manja dan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Muzir Abd Manan.

Sementara itu, Muslim berkata, pihaknya berharap penganjuran kempen dapat memastikan pelajar dapat mengenali dan terus meminati buah-buahan tempatan sehingga mereka dewasa.

"Kempen ini diharap dapat mendedahkan pelajar mengenai buah-buahan tempatan kerana ada sesetengah daripada mereka tidak mengenali buah seperti duku dan langsat," katanya.

Berita Harian X