Khamis, 26 Julai 2018 | 12:39pm
LEBIH 1,500 guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu menjayakan acara berjalan 10,000 langkah sempena Program Wakafians Walk 2018, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

1,500 guru, pelajar sertai acara jalan 10,000 langkah

TUMPAT: Lebih 1,500 guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu menjayakan acara berjalan 10,000 langkah sempena Program Wakafians Walk 2018, hari ini.

Pengetua SMK Wakaf Bharu, Mohd Azmi Awang, berkata program itu julung kali dianjurkan bertujuan menyemai gaya hidup sihat dalam kalangan guru dan pelajar.

Beliau berkata, program itu diadakan secara santai tanpa sebarang pertandingan, sekali gus membantu mengeratkan hubungan antara guru dengan pelajar apabila berjalan bersama-sama.

"Peserta berjalan sejauh 3.4 kilometer dan yang menarik, kita meletakkan maklumat berkaitan kesihatan di setiap satu kilometer membabitkan tiga lokasi ditetapkan.

"Mereka dikehendaki singgah dan membaca maklumat berkenaan, termasuk berapa jumlah kalori akan hilang apabila berjalan satu kilometer," katanya ketika ditemui selepas Program Wakafians Walk 2018 di SMK Wakaf Bharu, di sini.

Melalui program itu, Mohd Azmi berkata, pelajar turut diberi taklimat mengenai aspek kesihatan dan pemakanan seimbang.

"Kita mahu pelajar sekolah ini cergas dan sihat kerana ia sedikit sebanyak boleh membantu meningkatkan tahap pembelajaran," katanya.

Berita Harian X