Sabtu, 28 Julai 2018 | 6:14pm
LELAKI yang berpakaian secara seksi dan mengghairahkan melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. - Foto fail NSTP

Kenakan tindakan tegas terhadap lelaki berpakaian wanita

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendesak tindakan undang-undang dikenakan terhadap sekumpulan lelaki yang berpakaian seperti wanita dalam satu majlis di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Presiden PGSM, Musa Awang, berkata tindakan kumpulan lelaki yang berpakaian secara seksi dan mengghairahkan yang viral di media sosial itu, melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Katanya, Seksyen 28 akta berkenaan memperuntukkan orang lelaki yang memakai pakaian dan berlagak seperti perempuan di tempat awam atas tujuan tidak bermoral, sebagai suatu kesalahan.

Jika sabit kesalahan, katanya, kumpulan lelaki itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

"PGSM melihat perlakuan itu sebagai perbuatan dan contoh negatif kepada anak-anak dan penganut agama lain, kerana ia menjadi tontonan umum.

"Sebagai sebuah kerajaan yang mengangkat prinsip maqasid syariyyah dan Islam sebagai rahmatan lil'alamin, perbuatan sedemikian sewajarnya dikenakan tindakan tegas.

"PGSM dimaklumkan laporan telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kami menggesa siasatan dan dakwaan terhadap pelaku itu disegerakan.

"Siasatan dan pendakwaan yang disegerakan bukan semata-mata bertujuan memperbaiki dan memberi pengajaran kepada pelaku, malah untuk melindungi masyarakat dengan mencegahnya daripada terus berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, pendakwah PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, memuat naik status dan gambar membabitkan usahawan kosmetik Mohd Safiuddin Ilias atau Safiey Ilias serta sekumpulan lelaki lain dengan berpakaian seperti wanita.

Menerusi status di Facebook itu, PU Amin dipetik berkata, golongan terbabit didakwa terus mencabar kesucian agama Islam sehingga dia tidak mampu untuk menasihati mereka lagi.

Safiey, 24, yang dihubungi NSTP pada Rabu lalu, dilaporkan berkata kehadirannya di majlis pelancaran produk kecantikan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota dengan berpakaian seperti wanita itu, hanyalah mengikut kehendak fesyen serta mendakwa berpakaian sopan pada malam berkenaan.

Berita Harian X