Sabtu, 4 Ogos 2018 | 7:14pm

Lebih banyak taman tema dibangunkan di Langkawi

LANGKAWI: Perdana Menteri mahu pembangunan lebih banyak taman tema di Langkawi dilaksanakan bagi membolehkan pulau itu dikunjungi pelancong sepanjang tahun.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan agensi berkaitan diminta mempermudahkan proses kelulusan projek taman tema yang sebelum ini sukar diluluskan.

Katanya, pemaju bagaimanapun perlu mengikut syarat ketat di mana tiada penebangan pokok atau penerokaan hutan dilakukan bagi memastikan alam semulajadi Langkawi kekal.

"Kita menerima banyak cadangan pembangunan taman tema yang tidak membabitkan pemotongan pokok dan akan dipercepatkan kelulusannya.

"LADA dan jabatan berkaitan perlu mempercepatkan kelulusan projek ini kerana pemaju meminjam wang dan mereka perlu membayarnya semula," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Langkawi Nature Park di sini, hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata, Langkawi mempunyai pelbagai produk pelancongan alam semulajadi dan pembangunan taman tema dapat merancakkan kehadiran pelancong.

"Saya pernah diberitahu tentang kejayaan taman tema di Pahang, apabila ia begitu berjaya, saya berpendapat bahawa jika dibangunkan taman tema di Langkawi, sudah pasti ia memberi keuntungan kepada semua pihak di pulau ini.

"Bagi mahu membangunkan taman tema, Langkawi masih mempunyai tanah dan kawasan yang luas. Malah kawasan pesisir pantai dan pergunungan masih mempunyai potensi besar untuk dibangunkan," katanya.

Langkawi Nature Park adalah pusat eco pelancongan terbesar di Langkawi yang menempatkan lebih 80 spesis haiwan di kawasan hutan paya bakau semulajadi yang mempunyai laluan pejalan kaki sepanjang 800 meter.

Selain itu, pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan bot khas untuk melihat keindahan hutan ketika menyusuri Sungai Langkawi hingga ke Kilim Geoforest Park.

TUN Dr Mahathir Mohamad meninjau kawasan Langkawi Nature Park selepas Majlis Perasmian Langkawi Nature Park di Kampung Belanga Pecah, Jalan Ayer Hangat. - Foto Azhar Ramli

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X