Isnin, 6 Ogos 2018 | 10:29pm
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah. - Foto Fathil Asri

Wan Rahim dilantik pengerusi LKTN

KOTA BHARU: Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang baharu.

Beliau, ketika dihubungi NSTP sebentar tadi, mengesahkan perkara itu, namun belum menerima surat secara rasmi atas perlantikan itu.

“Saya menerima panggilan daripada seorang pegawai dari Kementerian Industri Utama bagi memaklumkan perlantikan jawatan terbabit pada Jumaat lalu.

“Pegawai terbabit menanyakan mengenai alamat rumah saya untuk menghantar surat perlantikan rasmi, namun saya masih menunggu surat berkenaan.

“Memang terkejut juga sebab saya tidak sangka akan dilantik untuk jawatan terbabit,” katanya.

Tambah beliau, satu sidang media akan diadakan pada Rabu ini mengenai perlantikan itu.

Wan Rahim, 66, adalah bekas Ahli Parlimen Kota Bharu dan pernah menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dari 1995 hingga 2008.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, beliau tidak bertanding mana-mana kerusi.

Sebelum ini, jawatan pengerusi LKTN, disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Adhan Kechik sejak 1 Oktober 2015.

Berita Harian X