Selasa, 7 Ogos 2018 | 9:25pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasiri daripada Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faiz Fadzil semasa Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Ke-14 di bangunan DUN Pulau Pinang, Lebuh Light. - Foto Danial Saad

Sesi penerangan PIL I perlu diperhebat

GEORGETOWN: Kerajaan negeri diminta menggiatkan sesi penerangan berhubung rancangan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link I (PIL I) bagi mengumpul pandangan orang ramai, sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Gooi Zi Sen (PH-Pengkalan Kota) berkata, ia berikutan projek pembinaan PIL I adalah cadangan untuk mewujudkan sistem jalan raya baharu bagi meningkatkan kesinambungan dan keberkesanan trafik di Pulau Pinang.

“Tindakan ini juga wajar sebagai persediaan mendepani beberapa pihak berkepentingan yang sanggup memberi gambaran kurang tepat semata-mata untuk membantah projek berkenaan.

“Saya harap kerajaan negeri dapat menggiatkan lagi sesi pendengaran awam supaya kita dapat mengumpulkan pandangan awam yang tulen dan tidak terpengaruh dengan dakwaan dilemparkan golongan individu yang berkepentingan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan perasmian Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Zi Sen berkata, PIL I muncul sebagai antara penyelesaian kepada sistem lalu lintas di sekitar bandar raya Georgetown, selain menawarkan alternatif kepada pengguna jalan raya.

“Keseluruhan pelan ini adalah sebuah rancangan sistem pengangkutan secara menyeluruh dan dijangka mampu menampung keperluan lalu lintas di Pulau Pinang untuk 50 tahun akan datang.

“Justeru, pandangan individu berkepentingan ini tidak mencerminkan kehendak rakyat yang menginginkan satu sistem pengangkutan yang lebih baik dan produktif demi masa depan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada individu berkepentingan ini faham mengenai tekanan lalu lintas yang perlu dihadapi penduduk Pulau Pinang.

Semalam, pertubuhan bukan kerajaan, Penang Forum, mengadakan demonstrasi aman membantah projek PIL I dan meminta kerajaan negeri menyemak semula Pelan Induk Pengangkutan (PIP) di pekarangan DUN Pulau Pinang, di sini.

Projek PIL I adalah antara projek dirangka dalam PIP dan dijadual dilaksanakan dalam fasa pertama pelaksanaan pelan bernilai RM47 bilion yang turut merangkumi terowong dasar laut, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan jaringan perhubungan bas di bahagian pulau serta Seberang Perai.

Berita Harian X