Rabu, 8 Ogos 2018 | 9:12am

FLORIA 2018 jangka tarik lebih sejuta pengunjung

KUALA LUMPUR: Lebih sejuta peminat bunga dan taman dari luar dan dalam negara dijangka membanjiri tapak FLORIA Diraja Putrajaya 2018 (FLORIA) di Anjung FLORIA Presint 4, Putrajaya, mulai 25 Ogos hingga 2 September depan.

Antara daya tarikan utama FLORIA 2018 ialah aman ‘Mini Hobbiton Malaysia’, perkampungan lelaki kerdil yang menjadi salah satu watak utama filem Hollywood, ‘The Lord of The Rings’ dan Taman Diraja Perak yang diilhamkan dari keindahan Istana Kenangan di Kuala Kangsar, Perak.

FLORIA 2018 juga menampilkan kelainan tersendiri kerana mempamerkan lebih 400,000 pokok dan bunga hibrid pelbagai warna dan bau daripada lapan spesies utama iaitu bunga raya, orkid, heliconia, mawar, kertas, begonia, lily dan kekwa yang digunakan sebagai tema, sebelum ini.

Bertemakan ‘10 Kegemilangan FLORIA’, festival bunga dan taman yang menjadi ikon Putrajaya itu juga menjanjikan pengalaman menarik kepada pengunjung dengan komponen dan tarikan baharu termasuk taman ajaib, taman mini, taman fertigasi, pavilion bunga antarabangsa, pameran bonsai dan gubahan suiseki.

Selaras dengan tema 10 Kegemilangan FLORIA, pereka bunga dan arkitek landskap dari 10 negara iaitu Brunei, China, Indonesia, Japan, Korea, Macau, Singapura, Vietnam, Taiwan dan Thailand turut diundang menyertai FLORIA 2018.

Bagi peminat orkid pula, kira-kira 300 pokok orkid pelbagai spesies akan dipamerkan selain penganjuran pertandingan pokok orkid yang akan memberi penganugerahan dan pengiktirafan kepada pokok hibrid orkid terbaik dengan bentuk, warna dan bunga yang terbaik di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB), Haslinda Khalid, berkata pihaknya menjangkakan ramai pengunjung akan datang ke FLORIA 2018 berikutan sambutan Hari Kemerdekaan yang turut dianjurkan di Putrajaya, pada tahun ini.

“Kalau kita sampai sasaran sejuta pengunjung Alhamdulillah, tetapi jika gagal pun tidak mengapa kerana sasaran utama kita sekarang adalah ke arah menaik taraf FLORIA menjadi seperti ‘Chelsea Flower Show’ atau ‘Melbourne Flower Show’ yang semakin meningkat setiap tahun.

“Malah, pengunjung utama kedua-dua pameran bunga berkenaan hanya dikunjungi penggiat industri hortikultur, pertanian dan arkitek landskap atau peminat bunga dan taman sahaja.

“Bagaimanapun, kita juga mengalu-alukan jika sekiranya orang awam dan pelajar sekolah ingin mengunjungi FLORIA 2018 yang turut menampilkan pelbagai daya tarikan termasuk taman ‘Mini Hobbiton Malaysia’, perkampungan lelaki kerdil yang menjadi salah satu watak utama filem Hollywood,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Majlis pelancaran FLORIA 2018 dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, pada 25 Ogos depan.

Sementara itu, Haslinda berkata usaha menjadikan FLORIA bertaraf antarabangsa penting bukan hanya untuk menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Malaysia, malah turut membantu penggiat industri bunga-bungaan dan hortikultur tempatan.

Katanya, ini perlu berikutan kebanyakan penggiat industri bunga-bungaan dan hortikultur tempatan sekarang banyak bergantung kepada eksport ke luar negara kerana rakyat kurang sedar dan begitu taksub terhadap barangan import biarpun sebenarnya Malaysia adalah pengeluar produk bermutu tinggi.

Berita Harian X