Rabu, 8 Ogos 2018 | 11:43pm
Ong Khan Lee.

Kerajaan PP diminta pertimbangkan pandangan NGO

GEORGE TOWN: Seorang penyokong kerajaan meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PP) supaya mempertimbangkan semua pandangan dan kritikan yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sebelum melaksanakannya.

Ong Khan Lee (PH-Kebun Bunga), berkata pandangan dan kritikan itu perlu diambil kira supaya kerajaan negeri tidak membuat kesilapan besar dalam pelaksanaan projek mega yang menelan anggaran kos RM46 bilion itu pada masa depan sekali gus menjadi satu projek yang gagal.

Mengambil contoh dua projek marina di Kedah dan Perak yang bernilai RM61.55 juta, beliau berkata prasarana berkenaan tidak pernah digunakan walaupun kedua-dua projek itu sudah siap masing-masing pada tahun 2003 dan 2010.

“Apa-apa projek yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) sememangnya berniat baik dan ingin membawa kemajuan yang mampan kepada Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, kita perlu menerima dan mempertimbangkan semua pandangan, kebimbangan dan kritikan daripada semua lapisan masyarakat terutama mereka yang berkelayakan dan mempunyai pengetahuan.

“Kita mesti mengambil iktibar dari projek yang gagal tersebut supaya tidak melaksanakan satu projek yang akhirnya tidak menepati sasaran dalam menangani kesesakan lalu lintas,” katanya ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Khan Lee berkata, kerajaan negeri boleh mengarahkan perunding bebas membuat kajian menyeluruh dan mencari alternatif yang lebih berkesan, murah, praktikal, mesra alam dan mesra rakyat untuk jangka masa panjang.

“PTMP tidak dibantah oleh mereka yang menyuarakan kebimbangan, sebaliknya mereka mahu melihat projek ini benar-benar bernas.

“Sebagai anak Pulau Pinang, adakah kita benar-benar memerlukan satu PTMP yang mana beberapa komponennya adalah dirancang dan dicadangkan oleh syarikat swasta,” katanya.

PTMP merupakan inisiatif kerajaan negeri yang akan merangkumi pembinaan terowong dasar laut, lebuh raya serta transit aliran ringan (LRT) dan monorel selain jaringan perhubungan bas yang luas di tanah besar dan bahagian pulau.

Sementara itu, Zolkifly Md Lazim (PH-Teluk Bahang) menyarankan Kerajaan Negeri PP mempertimbangkan penubuhan bank pembangunan negeri, bagi memberi kemudahan kewangan kepada projek mega di bawah kerajaan negeri seperti PTMP.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mencari alternatif untuk menangani kekangan kewangan bagi menampung pembiayaan projek mega seperti PTMP dengan anggaran kos sebanyak RM46 bilion.

“Dengan adanya bank pembangunan negeri ini, dengan projek sistem pengangkutan awam yang progresif memberi peluang untuk pendeposit melabur dengan membeli bon kerajaan yang lebih ‘selamat’,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X