Jumaat, 10 Ogos 2018 | 3:48pm
PESERTA mempelajari al-Quran di Rumah Ngaji OKU di Rasah Kemayan, Seremban. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

Rumah Ngaji untuk bantu OKU

SEREMBAN: Memahami golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghadapi masalah pembelajaran sukar mendapat guru mengajar al-Quran yang bersesuaian, Rumah Ngaji OKU ditubuhkan di Rasah Kemayan di sini, 1 Ogos lalu.

Penyelaras Rumah Ngaji, Gharizah Hashim, berkata idea penubuhan Rumah Ngaji OKU tercetus selepas menerima permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak OKU masalah pembelajaran.

Katanya, sebelum ini pihaknya hanya menumpukan bagi membantu masyarakat normal untuk membaca dan memahami kandungan al-Quran secara percuma di 20 Rumah Ngaji di Negeri Sembilan.

“Disebabkan ada ibu bapa yang mahukan kami mewujudkan Rumah Ngaji untuk golongan seperti lembam, kurang upaya intelektual, autisme, disleksia, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) dan sebagainya kita menubuhkannya di rumah yang diwakafkan ini.

“Mereka yang menghadapi masalah berkenaan tidak boleh belajar secara beramai-ramai dan tenaga pengajar khusus diperlukan untuk golongan ini selain menggunakan silibus khas.

“Dengan itu, kami bekerjasama dengan Yayasan Pendidikan al-Quran Anak Istimewa Istimewa Yayasan Faqeh yang mempunyai kepakaran dalam modul ngaji untuk peserta rumah ngaji OKU ini,” katanya.

Menurutnya, sejak di buka Isnin lalu Rumah Ngaji OKU menerima tujuh pelajar berusia di antara tujuh ke 21 tahun.

“Mereka diajar tiga tenaga pengajar yang juga bekas graduan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sebelum ini pernah menjalani latihan di Yayasan Faqeh.

“Setiap tenaga pengajar hanya akan mengajar dua peserta dalam satu kelas untuk memastikan mereka dapat memberi tumpuan dan memahami setiap sebutan dan bacaan peserta betul,” katanya.

Rumah Ngaji OKU yang tidak mengenakan sebarang bayaran ini beroperasi setiap hari Isnin sehingga Khamis dengan dua sesi iaitu pada 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Rumah Ngaji ini beroperasi dengan hasil sumbangan kenalan dan masyarakat setempat.

“Kita mengharapkan lebih ramai yang dapat membantu untuk menjayakan hasrat kami yang akan mengambil lebih ramai peserta dan tenaga pengajar kerana mempunyai permintaan yang tinggi,” kata Gharizah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun Maybank 555108319734 atas nama Rumah Ngaji Sheikh atau hubungi Gharizah ditalian 017- 351 2144 untuk maklumat lanjut.

Berita Harian X