Jumaat, 10 Ogos 2018 | 4:18pm
PEMILIK Aeisyah Shop & Collection, Noor Eaisah Mohd Arshan sibuk menyiapkan tempahan rekaan baju patriotik yang ditempah oleh pelanggan sempena bulan kemerdekaan Sayangi Malaysiaku pada tahun ini. - Foto Roslin Mat Tahir

Rezeki bulan kemerdekaan

SHAH ALAM: Seorang wanita tidak menyangka perniagaan yang diusahakannya dengan hanya membuat sewaan baju bertemakan patriotik sebelum ini mula membuahkan hasil pendapatan lumayan.

Pemilik Aeisyah Shop & Collection, Noor Eaisah Mohd Arshan, 42, dan dua rakannya kini `tidak menang tangan’ menerima tempahan baju sempena bulan kemerdekaan di kedai jahitnya di Kota Kemuning di sini.

Noor Eaisah berkata, beliau bersama Sada Saudi, 38, dan Hani Ramli, 38, pada mulanya hanya menyediakan 20 pasang baju pelbagai rekaan untuk disewakan berikutan kerap menerima permintaan antara Julai hingga September.

“Namun, apabila membuat sewaan baju bertema patriotik ini, ramai yang mahu membeli dan membuatkan kami bertiga mula membuka tempahan kepada orang ramai.

“Bermula Julai lalu, kami sudah menyiapkan lebih 300 helai baju sempena Hari Kemerdekaan. Alhamdulillah, untung bersih kami setakat ini mencecah lebih RM15,000.

“Kebiasaannya, tempahan baju banyak untuk sambutan hari raya, namun tidak sangka bulan kemerdekaan juga hampir sama kemeriahannya,” katanya ketika ditemui NSTP di kedainya di sini, hari ini.

Noor Eaisah berkata, baju yang ditempah kebanyakannya dibuat khas bagi kanak-kanak perempuan.

“Rata-rata tempahan bagi pertandingan baju tercantik di sekolah atau tempat lain. Alhamdulillah, semangat patriotik itu tidak pernah pudar,” katanya.

Beliau berkata, tempahan mula mendapat sambutan selepas beliau memuat status iklan menerusi laman Facebook (FB).

“Saya tidak sangka dengan hanya memuat naik satu status, aplikasi WhatsApp saya ‘dihujani’ mesej pelanggan, termasuk dari Sarawak, yang berminat untuk menempah baju patriotik.

“Pada mulanya, kami agak terkejut kerana terlalu ramai yang menempah dan bimbang tidak dapat menyiapkan tempahan.

“Namun, kami anggap ia perkara positif dan kini hanya mengambil tempahan baju kanak-kanak perempuan. Tempahan baju bagi dewasa dan kanak-kanak lelaki tidak lagi dibuka,” katanya.

Noor Easiah berkata, harga baju yang dijual adalah antara RM100 hingga RM190 bagi sepasang baju.

“Ia mengikut baju, saiz, dan rekaan yang diminta pelanggan. Setakat ini, kami mempunyai 20 rekaan baju mengikut cita rasa mereka.

“Kain yang digunakan juga amat selesa dan tahan lama kerana ia dijahit sebanyak dua kali. Ia tidak hanya memfokuskan penggunaan kain bendera, malah kain lain turut digunakan bagi menaikkan seri baju,” katanya.

Berita Harian X