Sabtu, 11 Ogos 2018 | 5:43pm

FAMA buka tiga pusat proses durian beku

GEORGETOWN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang membuka tiga pusat memproses durian beku masing-masing di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dengan menumpukan penghasilan pes durian kerana permintaan yang tinggi daripada pengguna.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Mansor Omar berkata, setakat ini lokasi pusat memproses durian beku yang dicadangkan di negeri ini dijangka akan dibuka di kawasan Perai.

Katanya, dengan adanya pusat memproses durian beku ini harga buah terbabit boleh dikawal selain mengelak lambakan buah setiap kali musim durian tiba.

"Apabila tiba musim durian atau cempedak, kita boleh membeli buah-buahan terbabit untuk dibekukan dan secara tidak langsung harganya juga dapat dikawal.

"Selain itu, produk yang dihasilkan daripada durian beku ini juga dapat dieksport ke luar negara dan untuk pusat memproses di Perai ini kita jangka ia akan dibuka tahun hadapan," katanya ketika ditemui media di Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan, Sayur-Sayuran, dan Ulam-Ulaman Tempatan, Peringkat Sekolah Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Lepas, dekat sini, hari ini.


Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Mansor Omar (tiga dari kanan) memberi buah-buahan percuma kepada murid-murid sekolah pada program Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan, Sayur-Sayuran dan Ulam-Ulaman Tempatan Peringkat Sekolah Negeri Pulau Pinang 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Lepas, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Setakat ini FAMA sudah memiliki 12 pusat memproses durian beku di hampir setiap negeri dan untuk kawasan utara masing-masing di Beseri, Perlis, Sungai Petani, Kedah dan Batu Kurau, Perak.

Sementara itu, Mansor berkata, FAMA akan mempelbagaikan resepi inovasi bagi menggalakkan golongan muda makan sayur serta buah-buahan tempatan.

"Sebagai contoh, generasi baru mungkin tidak suka durian namun kita boleh mengolahnya dalam bentuk pai, ais krim dan kek durian.

"Ini sekali gus akan mengubah cara penerimaan mereka terhadap buah-buahan tempatan, sayur dan ulam yang dihidangkan dengan cara berlainan bagi menarik minta golongan muda ini," katanya.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Mansor Omar (kiri) menandatangani plak merasmikan program Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan, Sayur-Sayuran dan Ulam-Ulaman Tempatan Peringkat Sekolah Negeri Pulau Pinang 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Lepas, Pulau Pinang. NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X