Selasa, 14 Ogos 2018 | 12:08pm
MUKRIZ Mahathir

Prestasi kutipan hasil Kedah membimbangkan

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengakui prestasi kutipan hasil Kedah berada pada tahap membimbangkan apabila hanya mengutip kira-kira RM286 juta atau 36.7 peratus daripada keseluruhan anggaran kutipan hasil tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata melalui pembentangan Bajet 2018, anggaran kutipan hasil Kedah ialah sebanyak RM779.5 juta, namun sehingga Jun lalu, jumlah itu masih belum mencapai 50 peratus.

“Sehingga 30 Jun lalu, jumlah kutipan diperoleh Kedah ialah RM286.7 juta atau 36.7 peratus daripada anggaran keseluruhan, sepatutnya ia boleh mencapai 50 peratus kerana sudah memasuki pertengahan tahun.

“Ini satu prestasi yang membimbangkan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (BN-UMNO Guar Chempedak) yang ingin mengetahui jumlah kutipan hasil diperoleh negeri, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, berkata susulan itu, pihaknya akan mencari kaedah bersesuaian bagi membolehkan kutipan hasil ditingkatkan sehingga akhir tahun.

Terdahulu, Mukhriz menjawab soalan Datuk Phahrolrazi Zawawi (PH-AMANAH Alor Mengkudu) berhubung kedudukan kewangan Kedah sehingga April 2018 di mana baki wang tunai yang dimiliki negeri berjumlah kira-kira RM41.8 juta dan simpanan tetap pula sebanyak RM122.3 juta.

Katanya, jumlah nilai pasaran saham di Kedah daripada tiga syarikat iaitu Petronas Dagangan Berhad (PETDAG), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kedah Islamic Management Berhad (KIAM) adalah sebanyak RM81 juta.

Menjawab soalan tambahan Phahrolrazi sama ada Kedah akan membuat permohonan tambahan dari Kerajaan Persekutuan susulan keadaan tahap kewangan negeri tidak begitu kukuh, Mukhriz berkata permohonan akan dibuat membabitkan pampasan susulan pengorbanan Kedah memelihara kawasan tadahan air di sini.

Ini kerana, Mukhriz berkata, sumbangan khas sebanyak RM10 juta setahun yang diberikan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan, mulai tahun ini adalah tidak mencukupi.

“Sumbangan ini sebagai tambahan pampasan dari Kerajaan Persekutuan membabitkan hasil nilai pajakan tanah Pulau Pinang... kami mengalukan jumlah RM10 juta ini namun kami berasa ia tidak mencukupi jika tambah lagi kosong di belakang baru lega sikit.

“Ini kerana Kedah adalah pengeksport air maka kita terpaksa mempertahankan kawasan tadahan air dan sebab itu kita tidak boleh membangunkannya, jadi kita mengharapkan satu bentuk pampasan dari Kerajaan Persekutuan berhubung isu ini, ” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang berunding semula dengan Kerajaan Persekutuan untuk menghapus kira hutang yang membebankan sebelum ini supaya ia boleh diurus mengikut keupayaan.

Berdasarkan rekod, hutang Kedah dengan Kerajaan Persekutuan sudah mencecah RM2 bilion bagi pembangunan infrastruktur air sahaja di negeri ini.

Berita Harian X