Selasa, 14 Ogos 2018 | 12:51pm
ZAMRI Yusuf. - Foto NSTP

Kedah mohon Pusat tanggung kos bina 5 LRA

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mohon bantuan Kerajaan Pusat bagi menanggung sepenuhnya kos membina dan menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah yang menelan belanja sebanyak RM931.6 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf, berkata rundingan bagi mendapatkan geran daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang dijalankan untuk membina dan menaik taraf LRA Pelubang, Bukit Selambau, Sungai Limau, Lubuk Buntar Lama serta Jenun Baru.

“Peruntukan diterima sebelum ini bukan dari negeri sebaliknya daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk hutang... jadi kita sedang berunding untuk memastikan supaya projek ini tak dilaksanakan secara hutang sebaliknya peruntukan disediakan Pusat.

“Sehingga kini, kita sedang menunggu keputusan penuh daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya secara berperingkat,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Muhammad Sanusi Md Nor (PAS-Jeneri) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14, hari ini.

Muhammad Sanusi ingin tahu sama ada kerajaan negeri berkemampuan untuk menjelaskan hutang membina dan menaik taraf lima LRA itu dengan prestasi kewangan sedia ada.

Menjawab soalan Muhammad Sanusi berhubung perkembangan lima projek LRA itu, Zamri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, berkata ia sudah bersedia untuk melalui proses perolehan.

Beliau berkata, kelima-lima projek itu sudah melalui fasa Makmal Pentaksiran Nilai dan Makmal Kejuruteraan Nilai oleh Kementerian Kerja Raya pada Februari hingga April lalu.

Katanya, pelaksanaan perolehan bagi pelantikan kontraktor untuk lima projek terbabit akan dibuat secara tender terbuka seperti diarahkan Kementerian Kewangan supaya ia dapat dilaksanakan secara telus dan menepati spesifikasi ditetapkan.

“Kerajaan terdahulu melalui Mesyuarat Lembaga Perolehan Negeri bersetuju untuk membuat pelantikan kontraktor secara rundingan terus namun selepas pentadbiran Pakatan Harapan, ia akan dibuat secara tender terbuka.

“Namun, pelantikan perunding sudah dibuat pada Disember 2016 yang dibuat secara rundingan terus, bagaimanapun pelantikan kontraktor belum disempurnakan dan ia akan dilakukan secara tender terbuka, ” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah menyatakan bahawa kerajaan negeri meminjam sebanyak RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi membina dan menaik taraf lima LRA di kawasan luar bandar di Kedah.

Berita Harian X