Khamis, 16 Ogos 2018 | 1:48pm
GAMBAR fail, Ketua Menteri, Adly Zahari (tengah) mengadakan sidang media selepas hari kedua, Persidangan Kedua, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka yang ke-14 di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam. - Foto Rasul Azli Samad

Melaka pertahan iktiraf UEC

AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mempertahankan tindakan kerajaan negeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai antara syarat bagi pengambilan penjawat awam di negeri ini.

Beliau menegaskan, keputusan itu dibuat bagi membela semua nasib anak Melaka tanpa mengira kaum untuk bersama-sama menikmati arus pembangunan negeri, selaras manifesto Pakatan Harapan (PH) Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, bukan saja diiktiraf di Melaka, UEC turut diiktiraf universiti terbaik dunia antaranya dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Ireland, New Zealand, Jepun dan Australia.

“Ini menunjukkan kandungan silibus UEC adalah cukup berdaya saing.

“Malah, begitu jelas antara syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi pengambilan calon UEC iaitu mereka wajib mempunyai kredit dalam bahasa Melayu,” katanya.

Adly (PH-AMANAH Bukit Katil) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-UMNO Tanjung Bidara) mengenai pengiktirafan UEC pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini, hari ini.

UEC adalah sijil dikeluarkan sekolah menengah persendirian Cina di negara ini dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Terdahulu, Noor Effandi Ahmad (PH-BERSATU Telok Mas) meminta semua pihak supaya tidak terkeliru dengan tindakan kerajaan negeri mengiktiraf UEC di Melaka.

“Kita (kerajaan negeri) mengiktiraf UEC untuk berkhidmat sebagai penjawat awam negeri ini, manakala langkah kerajaan Pusat mengiktiraf sijil sama pula adalah bagi memasuki universiti awam,” katanya.

Beliau yang juga EXCO Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Idris Haron (BN-UMNO Sungai Udang) yang bimbang seolah-olah ada ‘tangan tersembunyi’ dalam pentadbiran kerajaan negeri supaya segera mengiktiraf UEC di Melaka tanpa menunggu keputusan di peringkat pusat.

“Ingin saya jelaskan di sini manifesto itu bukan untuk 100 hari, tetapi lima tahun. Sekiranya PH Melaka tidak melaksanakan janji itu, akan timbul dakwaan yang PH mengkhianati manifesto berkenaan,” kata Noor Effandi.

Berita Harian X