Jumaat, 17 Ogos 2018 | 5:13pm
PENGERUSI Yayasan Exo World, Tan Sri Lee Lam Thye (dua dari kanan) bersama Ketua Komander St John Ambulance Malaysia (SJAM), Datuk Lai See Ming (tiga kanan) dan Ketua Pegawai Operasi SJAM Kawasan Pantai Selangor (KPS), Datuk Burnard Yeo Kim Thong (kanan) ketika berbual bersama pesakit yang menggunakan khidmat dialisis ketika Majlis Penyerahan Derma 2 Mesin Hemodialisis kepada Pusat Hemodialisis Yayasan St John Ambulans KPS bagi membantu pesakit buah pinggang kronik di Persiaran Raja Muda Musa Klang. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Yayasan Eco World sumbang dua mesin hemodialisis

- Gambar dan video oleh Intan Nur Elliana Zakaria

KLANG: Yayasan Eco World menyumbang dua mesin hemodialisis bernilai RM85,400 kepada Pusat Hemodialisis Yayasan St John Ambulans KPS di sini, hari ini.

Mesin berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye kepada Pemerintah Agung St John Ambulans Malaysia, Datuk Lai See Ming.

Lam Thye berkata, sumbangan itu bagi membantu pesakit buah pinggang yang tidak berkemampuan selain menggantikan mesin lama di pusat dialisis berkenaan.

Beliau berharap Yayasan St John Ambulans dapat membantu meningkatkan khidmat hemodialisis bagi membantu pesakit di pusat berkenaan.

“Ini bukan kali pertama Yayasan Eco World membantu Yayasan St John Ambulans kerana kita pernah membantu mereka memberikan bantuan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan mesin hemodialisis di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, Yayasan Eco World sudah menyumbang sebanyak RM220,000 bagi membeli mesin hemodialisis kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan pusat rawatan hemodialisis.

“Yayasan Eco World amat berbesar hati kerana diberi peluang menyumbang kepada kerja amal berikutan bilangan pesakit buah pinggang kronik meningkat setiap tahun.

“Statistik terbaru merekodkan seramai 7,000 pesakit buah pinggang kronik baharu setiap tahun manakala bilangan pesakit yang sedang menunggu organ buah pinggang kira-kira 20,000 orang.

“Nasihat saya kepada orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengurangkan mendapat penyakit kronik. Saya hanya mampu memberi nasihat selebihnya bergantung kepada individu terbabit,” katanya.

Berita Harian X