Ahad, 19 Ogos 2018 | 8:32am
SEBAHAGIAN 100 pelajar peserta Kembara Muda Rakyat menyaksikan penduduk menyembelih lembu pada program komuniti di Masjid Al-Istiqamah Kampung Kuala Teriang, Langkawi, semalam. - Foto Hamzah Osman

Kembara Muda Rakyat cungkil potensi

LANGKAWI: Seramai 100 pelajar memperoleh pengalaman baharu menerusi Kembara Muda Rakyat selama enam hari yang berakhir Selasa ini, di sini.

Program bertemakan, Budaya Kita Warisan Kita: Pengukuhan Pelancongan Lestari, anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang memasuki edisi kelima dan disertai pelajar tingkatan satu hingga lima itu memfokuskan apresiasi terhadap kepelbagaian budaya dan warisan.

Pengerusi YBR, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, berkata program itu bertujuan membangunkan potensi generasi muda supaya lebih kreatif dan inovatif.

“Selain itu, ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta supaya lebih mengenali budaya pelancongan dan masyarakat setempat.

“Menerusi kembara ini juga pelajar didedahkan kepada pengalaman dan ilmu pengetahuan baharu seiring matlamat melahirkan generasi berwawasan,” katanya.

Beliau berkata, antara pengisian program ialah tinjauan ke Kilim Geoforest Park, Air Terjun Telaga Tujuh, Galeria Perdana, Muzium 3D dan Pusat Penyelidikan Langkawi.

“Peserta turut teruja menyertai aktiviti menanam pokok bakau, selain menyantuni penduduk setempat dalam program komuniti di Kampung Kuala Teriang, Kuala Melaka dan Batu Ara.

“Perjalanan peserta lebih 500 kilometer bermula di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur ke pulau ini memang berbaloi kerana peserta memperoleh banyak pengalaman dan ilmu baharu,” katanya.

Berita Harian X