X
Khamis, 23 Ogos 2018 | 1:27pm
MENTERI Besar, Ahmad Faizal Azumu ketika sidang media selepas Majlis Korban Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Asrama Anak Yatim Darussalam, di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran
MENTERI Besar, Ahmad Faizal Azumu ketika sidang media selepas Majlis Korban Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Asrama Anak Yatim Darussalam, di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran

Tiada pembangunan besar dibatalkan - Ahmad Faizal

IPOH: Tidak ada sebarang projek besar kerajaan terdahulu dibatalkan di Perak berikutan keputusan yang dibuat kerajaan Pusat untuk membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, berkata setakat ini beberapa projek pembangunan yang sudah pun diluluskan oleh kerajaan terdahulu di Perak hanya akan dikaji semula dan ditangguhkan.

“Maklumat yang saya terima daripada kerajaan Persekutuan, beberapa projek besar yang sudah pun diluluskan di Perak akan dikaji semula.

“Contohnya, projek besar diumumkan oleh pentadbiran terdahulu yang menelan belanja lebih RM6 bilion di Bagan Datuk sedang dikaji semula dan saya masih belum dapat maklumat lanjut berkenaan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Asrama Anak Yatim Darussalam, di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) ketika melakukan lawatan kerja di Beijing, kelmarin.

Perdana Menteri dipetik berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

Berikutan pembatalan projek ECRL yang sepatutnya siap pada 2024, Dr Mahathir berkata, rundingan akan dilakukan peringkat pegawai untuk mencari jalan keluar daripada projek berkenaan pada kos paling rendah.

Ahmad Faizal berkata, bagaimanapun bagi projek yang kerja pelaksanaannya sudah pun melebihi 20 peratus, berkemungkinan besar ia akan diteruskan.

Terdahulu Ahmad Faizal turut meluangkan masa beramah mesra bersama sukarelawan dan masyarakat setempat yang terbabit dalam kerja melapah haiwan korban pada majlis itu.

Sebanyak 14 ekor lembu, tujuh kambing dan dua ekor kerbau dikorbankan pada majlis itu, yang disertai sukarelawan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Institut Latihan TUDM Ipoh serta masyarakat setempat.

Berita Harian X