Khamis, 23 Ogos 2018 | 4:56pm
PENGERUSI Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew (dua dari kanan) melihat model bangunan selepas melancarkan Ekspo Hartanah Malaysia peringkat Kedah/Perlis (MAPEX 2018) di Aman Central, Alor Setar. - Foto ihsan REHDA

Kedah syor pelepasan lot Bumiputera gagal terjual

ALOR SETAR: Lebih 1,000 unit kediaman dan komersial lot Bumiputera bernilai kira-kira RM400 juta ringgit yang dibina melalui projek jenis pegangan milik bebas di Kedah tidak berjaya dijual dalam tempoh sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kegagalan unit kediaman dan komersial lot Bumiputera itu terjual di pasaran seperti kawasan yang tidak sesuai untuk didiami oleh Bumiputera dan ketidakupayaan mereka dari segi harga.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew, yang mengesahkan perkara itu berkata, keadaan terbabit bukan saja menyebabkan aspek ekonomi tidak dapat digerakkan dan modal dibekukan, sebaliknya turut menyumbang kepada kos penyelenggaraan dan pembiayaan.

Sehubungan itu, Kok Yew berkata, sudah tiba masa kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi pelepasan terhadap unit kediaman dan komersial lot Bumiputera yang gagal terjual di pasaran melalui projek yang dibina pada atau sebelum Disember 2016.

“Lebih parah, unit lot Bumiputera yang tidak terjual ini menyebabkan ia menjadi bangunan terbiar dan dibuat sebagai tempat berlakunya gejala sosial yang tidak senonoh, merosakkan pemandangan dan mengancam kebersihan serta kesihatan komuniti.

“Justeru, kita bercadang membentuk satu jawatankuasa khas untuk menguruskan masalah itu dengan mempertimbangkan pelepasan lot berkenaan yang dibina atau memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (CF) pada atau sebelum 31 Disember 2016.

“Prosedur permohonannya bagaimanapun akan diumumkan selepas mesyuarat jawatankuasa ini, ” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ekspo Hartanah Malaysia peringkat Kedah/Perlis (MAPEX 2018) di Aman Central, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Kedah/Perlis, Datuk Rick Cheng Wooi Seong.

Tahun ini, MAPEX yang diadakan di sini dan Amanjaya Mall, Sungai Petani menawarkan kira-kira 3,000 unit hartanah membabitkan unit kediaman dan komersial bernilai lebih RM950 juta.

Pada masa sama, Kok Yew berkata, kerajaan negeri juga akan mencari inisiatif mengganti semula lot Bumiputera yang diberi pelepasan itu dengan mengenakan bayaran levi kepada pemaju.

Katanya, bayaran levi itu kemudiannya disalurkan ke Tabung Amanah Rumah Harapan yang berperanan untuk membantu golongan kurang berkemampuan khususnya Bumiputera, memperoleh kediaman sendiri.

Sementara itu, Rick Cheng berkata, bagi setiap projek perumahan jenis pegangan milik bebas yang dilaksanakan, kira-kira 30 hingga 50 peratus daripadanya haruslah terdiri daripada lot Bumiputera.

Namun, katanya berdasarkan statistik yang dikumpul daripada ahli REHDA Kedah/Perlis, lebih RM400 juta nilai unit lot Bumiputera yang masih gagal terjual dalam tempoh 10 tahun ini.

“Kebanyakannya membabitkan projek di Kota Setar, Kuala Muda dan Kubang Pasu...ini adalah satu jumlah yang amat besar dan ia menyebabkan jumlah wang modal kita menjadi beku, ” katanya.

Berita Harian X