Ahad, 26 Ogos 2018 | 5:41pm

Kedah ada alasan pelepasan lot rumah Bumiputera

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah mempertahankan rancangannya memberikan pelepasan kepada lot hartanah Bumiputera yang dibina sebelum tahun 2017 bagi mengatasi masalah lebih 1,000 unit kediaman dan komersial di negeri itu yang gagal dijual.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata sehingga kini, lot Bumiputera yang tidak dapat dijual dalam tempoh lebih 10 tahun dianggarkan bernilai RM400 juta, kebanyakkannya dibina melalui projek pegangan milik bebas.

“Dasar ini sudah wujud sejak 2008 ketika kerajaan negeri berada di bawah pentadbiran PAS, dan ketika saya menjadi Menteri Besar di bawah Barisan Nasional (BN), dasar ini masih ada, namun pelaksanaannya tidak memuaskan.

“Tidak timbul isu merampas tanah hak Bumiputera kerana apa yang cuba kita lakukan adalah apabila lot kediaman Bumiputera yang gagal dijual atas sebab munasabah serta sudah melewati satu tempoh masa lama seperti lima atau 10 tahun, sudah pastilah wujud masalah di situ.

“Jika sudah sampai ke tahap itu, kita mempunyai dasar melepaskan lot berkenaan daripada syarat lot Bumiputera untuk dibenarkan dijual kepada bukan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia peringkat Kedah/Perlis (MAPEX 2018) di Aman Central, di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, ia bukan bermaksud kerajaan negeri tidak memberikan perhatian kepada lot milik Bumiputera kerana penganjuran MAPEX juga banyak memberikan projek perumahan mampu milik serta kos rendah khusus untuk Bumiputera.

“Berdasarkan laporan yang diterima, penjualan unit rumah di sini sangat menggalakkan dan dalam hal ini tidak timbul soal kita (kerajaan negeri) merampas hak Bumiputera.

“Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan seperti mana dibenarkan dalam dasar berkenaan, iaitu kita mengenakan sedikit levi supaya dapat mengutip dana apabila rumah dari kategori ini dijual kepada bukan Bumiputera.

“Kutipan levi ini untuk kerajaan negeri. Ia dimasukkan dalam Tabung Rumah HARAPAN, dan dengan dana ini dapatlah kita gunakan untuk membantu dalam penyediaan banyak rumah dengan kuota Bumiputera dan dengan ini pulangannya yang diterima dapat menyelesaikan masalah asal kepada isu ini,” katanya.

Mengulas kenyataan pimpinan PAS negeri yang mahu menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Isu Perumahan Bumiputera di Kedah dan mengingatkan kerajaan negeri tidak menjadi ‘barua’ kepada kaum tertentu dalam mengendalikan lot kediaman milik Bumiputera, Mukhriz berkata, beliau berasa pelik kerana dasar ini datangnya ketika zaman parti itu memerintah negeri ini.

“Sekarang mereka (PAS) pula kata kita sebagai ‘barua’ dan tidak patutlah mereka gunakan ayat itu. Dalam hal ini, tiada keperluan untuk tubuhkan jawatankuasa itu,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, penganjuran MAPEX di Kedah pada tahun ini menawarkan hampir 3,000 unit hartanah membabitkan unit kediaman dan komersial bernilai lebih RM950 juta.

MUKHRIZ Mahathir melawat Pameran Hartanah (Mapex Kedah 2018) di Aman Central, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X