Jumaat, 31 Ogos 2018 | 3:02pm

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri meriah

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan yang disambut hari ini menjadi bukti betapa rakyat Malaysia sangat mementingkan perpaduan selain menonjolkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk pelbagai kaum.

Selain sambutan di peringkat kebangsaan yang diadakan di Putrajaya, ternyata acara di peringkat negeri turut meriah sesuai dengan tema Sayangi Malaysiaku.

Di KOTA KINABALU, lebih 10,000 orang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Sabah yang berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens, seawal jam 6 pagi, di sini hari ini.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Jaujan Sambakong; Datuk Madius Tangau dan Christina Liew serta barisan Kabinet negeri Sabah termasuk Menteri Pembangunan Perindustrian negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, Datuk Peter Anthony.

Sementara itu, sebanyak 149 kontinjen membabitkan pelbagai kategori seperti sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan serta sektor swasta, badan bukan kerajaan dan persatuan etnik Sabah menyertai perbarisan yang bermula kira-kira jam 7.30 pagi.

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama terdiri dari empat pegawai dan 102 anggota lain lain pangkat pada sambutan Hari Kebangsaan kali ke-61 di Dataran Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama terdiri dari empat pegawai dan 102 anggota lain lain pangkat pada sambutan Hari Kebangsaan kali ke-61 di Dataran Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sambutan Hari Kebangsaan itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan termasuk koir oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan puisi khas Sayangi Malaysia Kita.

Ia diteruskan dengan persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang bertemakan Sayangi Malaysiaku, Malaysia Kita Punya dengan disertai orang termasuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah menengah serta rendah.

Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh, di sini sebentar tadi.

Baginda berdua tiba kira-kira jam 8.30 pagi, dengan ditemani dua anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan isteri; Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Perak kemudian berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat utama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Dua Divisyen dari Kem Sangro, Taiping dan diiringi pasukan pancaragam dari KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Acara dimulakan dengan bacaan doa sebelum nyanyian koir oleh 90 pelajar dari gabungan empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iskandar; SK Iskandar Perdana; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar dan SMK Iskandar Shah dengan lagu Nyalakan Tekad, Sayangi Malaysiaku dan Jalur Gemilang.

Majlis kemudian diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan sebanyak 107 kontinjen yang disertai seramai 5,703 peserta daripada pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pasukan berpakaian seragam, universiti dan sekolah di negeri ini.

Di MELAKA, kira-kira 5,000 rakyat negeri ini membanjiri Memorial Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, pagi ini, bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-61.

Orang ramai mula berkumpul di memorial terbabit seawal jam 7 pagi lagi.

Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Adly Zahari bersama barisan EXCO kerajaan negeri turut hadir menyaksikan perbarisan dan perarakan hari kebangsaan peringkat negeri itu.

Pelancong asing tidak melepaskan peluang meraikan sambutan yang bermula dengan persembahan tarian, sajak serta bacaan ikrar oleh kanak-kanak hingga remaja, selain turut disertai ahli persatuan vespa, beca, motosikal berkuasa tinggi serta kereta mini.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, berkenan berangkat menyaksikan perbarisan 89 kontinjen pada Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Hari Kebangsaan ke-61 peringkat negeri bersama lebih 5,000 rakyat di Dataran Medan Bandar, dekat sini.

Turut berangkat ke acara itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff.

Berangkat sama, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Secara keseluruhan, kira-kira 3,000 peserta membabitkan 89 kontinjen daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan syarikat swasta berbaris serta berarak pada acara terbabit yang bermula jam 9 pagi.

Perbarisan dimulakan dengan dengan persembahan dari kumpulan pancaragam Kolej Tentera Udara Kepala Batas diikuti pembawa Jalur Gemilang besar, pembawa Jalur Gemilang kecil, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan pancaragam Sekolah Menengah Keat Hwa.

Pada acara itu, Sultan Sallehuddin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada setiap pemenang bagi empat kategori iaitu Kategori Badan Sukarelawan Uniform Sekolah yang dimenangi Kadet Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sharifah Rodziah.

Di PASIR MAS, kira-kira 5,000 pengunjung membanjiri Mini Stadium Pasir Mas sebagai menunjukkan semangat solidariti, perpaduan dan cintakan negara bagi menyambut Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Majlis sambutan yang bermula jam 8.30 pagi tadi itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Selain laungan 'Merdeka!' menggemakan suasana Mini Stadium Pasir Mas, sambutan itu turut diwarnai perarakan 62 kontinjen termasuk dari semua pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Jajahan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengenakan pelbagai pakaian dengan tema 'Sayangi Malaysiaku'.

Selain acara gendang Cina, sajak, dan lakonan, persembahan 'Gempur Tanpa Senjata' oleh ATM turut menggamatkan suasana terutama lompatan dalam gelung api apabila rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang melihat aksi itu.

Di KUANTAN, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di pekarangan Jalan Mahkota, di sini, hari ini.

Baginda diiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ketibaan mereka kira-kira jam 9 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tengku Abdullah kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormat utama dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum menyaksikan acara perbarisan daripada 86 kontinjen dengan kekuatan 4,313 peserta.

Acara dimulakan dengan perarakan masuk kontinjen dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berarak masuk selain mempamerkan aset masing-masing.

Aset artileri seperti kereta perisai Adnan, peluru berpandu dan kereta kebal antara mencuri perhatian penonton selain persembahan dipamerkan anggota ATM yang mempersembahkan teknik tempur tanpa senjata.

Majlis kemudian diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan dari jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan barisan atlet Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Sambutan berkenaan disaksikan lebih daripada 15,000 rakyat di negeri ini yang bersama memeriahkan majlis sambutan Hari Kemerdekaan di peringkat negeri ini.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 5,000 rakyat Terengganu tidak melepaskan peluang menyertai sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri dan tidak berganjak menonton perarakan yang diadakan di Dataran Batu Buruk, di sini.

Walaupun cuaca panas, semangat patriotik rakyat negeri ini tidak boleh disangkal apabila setia bersama 84 kontinjen yang menyertai perarakan Hari Merdeka bertemakan Sayangi Malaysiaku.

Turut berkenan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan itu ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan adinda, Tengku Nadhirah Zahrah.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya serta barisan kepimpinan negeri.

Sebanyak 84 kontinjen membabitkan 3,903 peserta mengambil bahagian dalam perbarisan yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, kumpulan pancaragam dan badan bukan kerajaan (NGO).

Buat pertama kali, persembahan bertenaga dari pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Kuala Terengganu berjaya menobatkan mereka sebagai juara keseluruhan perbarisan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 serta piala pusingan.

ASET TUDM membuat lintas hormat ketika sambutan Hari Kebangsaan kali ke-61 di Dataran Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
ASET TUDM membuat lintas hormat ketika sambutan Hari Kebangsaan kali ke-61 di Dataran Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X