Sabtu, 1 September 2018 | 4:54pm
GAMBAR hiasan.

Ramai tawar diri jadi ibu susuan

KOTA BHARU: Kesedaran yang tinggi terhadap kebaikan dan khasiat susu ibu menyebabkan ramai wanita bersedia menjadi ibu susuan untuk menyusukan bayi secara eksklusif.

Pengerusi Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Noraida Ramli, berkata sebaik lahir, bayi perlu menyusu badan bagi mendapat khasiat terbaik.

Katanya, seorang ibu akan berasa sedih serta terdesak apabila mereka tidak mampu memberi susu badan dan berusaha memberi alternatif lain termasuk mendapatkan bantuan daripada ibu susuan.

“Di HUSM, sebelum seseorang wanita menjadi ibu susuan kepada bayi pramatang yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), mereka perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

“Perkara pertama, ibu susuan perlu mendapat izin suami, kemudian barulah boleh mengadakan pemeriksaan kesihatan untuk mengelakkan penyakit berjangkit kepada bayi yang disusukan.

“Keluarga bayi juga perlu mengenali ibu susuan dan pada masa sama menyerahkan salinan pengenalan diri kepada dua pihak untuk menjaga nasab keturunan bagi mengetahui pertalian antara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim di Kompleks Sukan 2, di sini, hari ini.

Dr Noraida berkata, berbeza di luar negara, susu badan yang didermakan oleh seseorang wanita akan dicampurkan dan disimpan di tempat khas sebelum diberikan kepada bayi yang memerlukan.

Sementara itu, ibu susuan, Siti Nur Amalina Mohd Jasri, 23, berkata niat untuk menjadi ibu susuan terdetik apabila seorang ibu yang kekurangan susu meminta bantuannya untuk menyusukan bayi kembarnya yang dilahirkan pramatang dan kini berada di NICU.

“Pada masa sama, anak sulung saya yang berusia dua bulan juga dilahirkan pramatang dan berada di wad sama. Saya baru sebulan menyusukan bayi kembar ini dan sebagai ibu, saya amat memahami perasaan wanita ini.

“Ini kali pertama saya menjadi ibu susuan dan suami memberi izin dengan niat untuk membantu mereka dan diri sendiri,” katanya.

Berita Harian X