Selasa, 4 September 2018 | 2:09pm
OSMAN Sapian bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Jimmy Puah Wee Tse mengadakan sidang media bagi menjelaskan mengenai kekeliruan dan salah faham mengenai projek Forest City, di Pejabat Menteri Besar, di Nusajaya, Johor. - Foto Zain Ahmed

Kenyataan mengenai Forest City tak tepat - MB Johor

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor hari ini menafikan pelbagai dakwaan berkaitan pembangunan Forest City termasuk mengenai ia tidak memberi hasil kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata kerajaan negeri menerima penjelasan penuh dari pemaju projek itu, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) dan menegaskan semua dakwaan itu tidak benar.

"Kerajaan negeri ingin memberi penjelasan terperinci selepas mendapat laporan dari pemaju Forest City.

"Baru dua hari bagi laporan, harap dapat bagi sedikit pencerahan kepada umum supaya tidak ada persepsi negatif terhadap syarikat ini.

"Kita tidak memihak kepada mana-mana pihak tetapi kita perlu menjelaskan perkara ini supaya pelabur tidak bimbang untuk melabur di negeri ini.

"Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur asing melabur di Johor," katanya pada sidang media di pejabatnya, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Osman berkata, antara dakwaan ialah projek itu tidak menyumbang kepada kerajaan negeri dan Persekutuan dan ia tidak benar, sebaliknya Johor menerima RM630 juta hasil dari Forest City membabitkan dividen dan bayaran lain termasuk premium tanah serta cukai.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga sudah menerima keseluruhan RM83 juta termasuk RM14 cukai korporat hasil daripada projek.

Beliau berkata, syarikat induk CGGV, Country Garden Holdings juga menyumbang RM399 juta kepada Persekutuan dalam bentuk pelbagai cukai termasuk cukai korporat.

"CCPV sudah melabur keseluruhan RM11.5 billion dalam projek ini sejak Julai 2018. Mereka juga memberi kontrak bernilai RM1.4 bilion kepada 150syarikat tempatan, selain pekerja di projek itu menyumbang sebanyak RM51 juta membabitkan cukai pendapatan," katanya.

Osman berkata, dakwaan bahawa 700,000 warga asing terutama dari China akan tinggal di Forest City apabila projek itu siap juga tidak tepat.

"Angka itu sebenarnya jumlah keseluruhan termasuk warga tempatan, professional, pelancong dan pelajar," katanya.

Osman berkata, dakwaan bahawa transaksi pembelian hartanah di Forest City dikendalikan di luar negara dan tiada wang masuk ke Malaysia juga tidak tepat.

"Semua transaksi berkaitan projek termasuk perjanjian jual beli perlu dilakukan di Malaysia dan mengikut undang-undang ditetapkan termasuk Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1995.

"Sehingga hari ini kami sudah menyemak dengan CGPV dan mereka mempunyai dana sehingga RM2 bilion dalam akaun pihak berkuasa pembangunan perumahan (HDA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempunyai akses penuh untuk mengesahkan jumlah ini.

"Jumlah yang ada dalam akaun HDA memang dikekalkan dan diaudit mengikut garis panduan dan peraturan HDA kerana duit ini disimpan sehingga projek ini selesai baru boleh dikeluarkan. Sekiranya projek ini ada kecacatah atau terbengkalai duit inilah digunakan untuk memastikan projek ini berjalan lancar," katanya.

Osman berkata, kerajaan negeri percaya bahawa Malaysia mempunyai sistem perundangan yang komprehensif untuk menjaga hak pelabur termasuk pembeli hartanah.

"Kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan. Kita juga akan memastikan CGPV memberi penjelasan berkaitan pelbagai isu melalui cara wacana dan mesyuarat.

"Kerajaan negeri juga mempercayai keupayaan kerajaan Persekutuan untuk bersikap adil dalam melindungi syarikat asing yang menjalankan perniagaan di Malaysia.

Berita Harian X