Selasa, 4 September 2018 | 2:55pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung (kanan) bergambar bersama konduktor Naohisa Furusawa dari Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan Suzie Yap (kiri) selepas merasmikan Malam pelancaran dan persembahan orkestra dari Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO)di Johor Bahru. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Arts Festival himpun penggiat seni

JOHOR BAHRU: Johor Arts Festival (JohorAF) anjuran The Johor Society for the Performing Arts (JSPA) kembali untuk tahun ke-15 sebagai medium bagi memperkasa komuniti melalui seni.

Festival yang berlangsung sejak Sabtu lalu hingga 23 September ini, menjadi tuan rumah yang menghimpun ratusan artis tempatan dan antarabangsa, selain mencungkil bakat baharu.

Pengarah festival, Suzie Yap, berkata pihaknya berterima kasih kepada komuniti, kerajaan dan pelbagai organisasi swasta dalam menyokong acara tahunan sejak 2014 dan berharap ia akan diteruskan pada masa depan.

Katanya, ketika bermula 15 tahun lalu, pihaknya banyak mendekati pelajar di peringkat sekolah untuk menyemai rasa cinta terhadap muzik.

“Kini, mereka sudah dewasa dan kembali kepada kita di festival ini bersama keluarga, rakan, pasangan, malah anak mereka yang sekali gus menunjukkan komuniti seni sudah mula berkembang.

“Kita ada semangat, tetapi kita juga memerlukan bantuan terutama kewangan untuk meneruskan acara seni seumpama ini ke arah membentuk jiwa masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran 15JohorAF di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disajikan dengan persembahan orkestra oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang turut menyambut ulang tahun penubuhan ke-20.

Persembahan orkestra selama dua jam di bawah pimpinan konduktor Naohisa Furusawa itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Badrul Hisham Kassim.

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang festival berlangsung, antaranya persembahan istimewa daripada pelawak Joanne Kam, persembahan band jazz dikenali Tarakucha! oleh Sean Ghazi dan Ida Mariana, selain forum, pameran dan tayangan filem.

Berita Harian X